PENGANGKUTAN
10.1 PENGENALAN
382. Rangkaian sistem pengangkutan yang komprehensif dan efisien
dengan penghubungan antara dan dalam bandar amat diperlukan bagi mengukuhkan
kedudukan Kuala Lumpur sebagai sebuah pusat perdagangan dan kewangan
antarabangsa.
383. Bagi warga kota Kuala Lumpur, Bandar Raya perlu berupaya
menyediakan satu struktur bandar yang efisien dan saksama, sebaik mungkin, bagi
membolehkan semua anggota masyarakatnya mudah sampai ke semua kawasan dan
kemudahan agar setiap orang boleh menikmati faedah kehidupan bandar yang
maksimum.
384. Struktur asas rangkaian jalan dan rel yang komprehensif telah
dibina sejak tahun 1984. Program bagi Kuala Lumpur kini ialah untuk memajukan,
memperkemaskan dan melengkapkan sistem pengangkutan secara bersepadu bagi
memenuhi keperluan Bandar Raya dan penduduknya sehingga tahun 2020. Dalam
hubungan ini DBKL akan membantu pelaksanaan sistem pengangkutan bersepadu.
10.2 KEADAAN
SEMASA DAN ISU
10.2.1 UMUM
a)Pecahan Mod Pengangkutan
i.Keadaan Semasa
385. Dalam tempoh 1985 hingga 1997, pecahan
mod pengangkutan awam telah berkurangan daripada 34.3 peratus kepada 19.7
peratus. Ini menunjukkan satu peralihan besar daripada pengangkutan awam,
khususnya pengangkutan bas, sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan taraf
hidup yang menyebabkan peningkatan kadar pemilikan kereta dan juga kemerosotan
dalam perkhidmatan bas. Peningkatan pergantungan terhadap pengangkutan
persendirian, khususnya kereta persendirian, telah mewujudkan tekanan yang
tinggi terhadap rangkaian jalan raya dan
telah menyumbang kepada masalah kesesakan lalu lintas.
ii.Isu
•
Pecahan mod pengangkutan awam yang rendah telah menyebabkan permintaan yang
tinggi terhadap infrastruktur jalan dan kesesakan lalu lintas.
b)Permintaan Perjalanan
i.Keadaan Semasa
386. Peningkatan taraf hidup dan penghijrahan
keluar penduduk dari Kuala Lumpur sekali gus telah menyumbang kepada masalah
kesesakan lalu lintas di Pusat Bandar Raya. Antara tahun 1980 dan 1997,
bilangan penduduk Kuala Lumpur kekal pada kadar pertumbuhan 1.1 peratus
manakala dari tahun 1985 hingga 1997, perjalanan berkereta telah bertambah pada
kadar purata 4.2 peratus setahun di Wilayah Lembah Klang.
387. Telah ternyata, walaupun bilangan
penduduk Pusat Bandar Raya hanya merupakan 3.3 peratus daripada jumlah
keseluruhan penduduk Wilayah Lembah Klang, lebih kurang 19 peratus daripada 8.3
juta perjalanan setiap hari di Wilayah Lembah Klang adalah perjalanan yang
dijana di Pusat Bandar Raya.
388. Permintaan perjalanan yang tinggi
sebahagian besarnya adalah melibatkan pengangkutan persendirian, khususnya
kereta-kereta persendirian. Ini telah mengakibatkan kesesakan serta kemerosotan
yang serius terhadap kelajuan perjalanan di jalan-jalan utama di kebanyakan tempat
di Kuala Lumpur, terutamanya di Pusat Bandar Raya, dan juga di bahagian timur
dan selatan, berpunca daripada jalan-jalan utama yang beroperasi pada atau
melebihi keupayaan pada waktu puncak. Kenderaan berpenumpang rendah juga telah
memburukkan lagi masalah ini.
ii.Isu
•
Permintaan perjalanan yang tinggi dari dan ke Pusat Bandar Raya ketika
waktu-waktu puncak.
c)Pengurusan Lalu Lintas
i.Keadaan Semasa
389. Langkah-langkah pengurusan lalu lintas
adalah bertujuan bagi mengoptimumkan infrastruktur sedia ada untuk
mempertingkatkan keupayaan aliran supaya lebih responsif terhadap permintaan
lalu lintas pada waktu yang berbeza.
390. Pelbagai langkah telah berjaya
dilaksanakan di Kuala Lumpur. Kaedah utama kawalan lalu lintas di Bandar Raya
ketika ini adalah berasaskan sistem koordinasi isyarat lalu lintas kawasan
berkomputer (SCATS/ITACA) yang beroperasi di 130 persimpangan, dibantu oleh
polis trafik semasa waktu puncak. Perluasan sistem kawalan lalu lintas sedia
ada berserta dengan penambahbaikan keupayaan sistem ini sedang dilaksanakan
secara berperingkat.
391. Langkah-langkah kawalan lalu lintas lain
yang menyumbang kepada pengurusan lalu lintas di Kuala Lumpur termasuklah
sistem jalan sehala, lorong berlawanan untuk meningkatkan keupayaan laluan pada
waktu puncak, lorong eksklusif bagi bas dan teksi, denda ke atas kesalahan
meletak kereta di bahu-bahu jalan dan peraturan mengawal kenderaan berat masuk ke
Pusat Bandar Raya pada waktu puncak.
392. Langkah-langkah tambahan lain yang ada
kaitan dengan keselamatan jalan raya adalah melalui penggunaan papan-papan
tanda, halangan-halangan, tanda-tanda garisan jalan dan jejantas pejalan kaki.
Kempen kesedaran untuk pemandu dan pengeluaran lesen memandu yang lebih ketat
juga merupakan penyumbang kepada pengurusan lalu lintas yang berkesan.
ii.Isu
393. Walaupun langkah-langkah pengurusan lalu
lintas telah banyak dilakukan untuk melicinkan aliran lalu lintas terutama di
Pusat Bandar Raya, ianya tidak boleh berterusan untuk tempoh masa yang tidak
menentu sekiranya permintaan lalu lintas di jalan-jalan terus meningkat.
• Langkah-langkah pengurusan lalu lintas sahaja tidak
berkesan untuk meningkatkan tahap keupayaan jalan sedia ada.
d)Rangka Kerja Institusi Pengangkutan
i.Keadaan Semasa
394. Struktur institusi yang bertanggungjawab
bagi pengangkutan bandar di Malaysia, khususnya, Kuala Lumpur dibahagikan di
antara jabatan-jabatan persekutuan dan DBKL (rujuk Jadual 10.1).
395. Jabatan Pengangkutan Bandar DBKL telah
diamanahkan dengan fungsi-fungsi penyelarasan dan pentadbiran yang pelbagai
bagi merancang pengangkutan bandar secara berkesan. Kerajaan Persekutuan
bertanggungjawab terhadap pelan pengangkutan, garis panduan dasar dan perkara
perkara yang berkaitan dengan perancangan dan pentadbiran pengangkutan secara
keseluruhan.
396. Penglibatan sektor swasta dalam
penyediaan infrastruktur pengangkutan telah berkembang daripada peranan asalnya
seperti operasi pengangkutan bas dan teksi kepada pembinaan jalan-jalan bertol
dan pelaksanaan, operasi serta penyelenggaraan sistem komuter, transit aliran
ringan (LRT) dan people mover rapid transit (PRT).
ii.Isu
397. Terdapat sedikit pertindihan dan
persamaan fungsi sesetengah agensi yang bertanggungjawab dalam rangkaian
pengangkutan Kuala Lumpur, yang kadangkala telah menimbulkan percanggahan
dasar-dasar atau program-program. Ini telah menimbulkan kesukaran untuk
merumuskan dasardasar pengangkutan awam dan persendirian yang konsisten.
• Kekurangan penyelarasan dasar-dasar mengenai pengangkutan
awam dan mod pengangkutan awam/persendirian.
10.2.2 PENGANGKUTAN AWAM
a)Pengangkutan Awam Berasaskan Rel
i.Keadaan Semasa
398. Perkhidmatan rel telah menjadi faktor
yang penting dalam pengangkutan awam di Kuala Lumpur semenjak pembukaan Transit
Aliran Ringan (LRT) Sistem 1, Sistem Transit Aliran Ringan Sdn Bhd (STAR) pada
tahun 1996 dan kemudiannya LRT Sistem II atau Projek Usaha Sama Transit Ringan
Automatik (PUTRA) pada tahun 1998. Kesemuanya menyediakan kira-kira 50
kilometer rangkaian rel dengan 40 stesen. Sebagai tambahan, people mover rapid
transit (PRT), satu sistem monorel yang baru disiapkan, menyediakan
perkhidmatan untuk kawasan pejabat dan perdagangan lain yang utama di Pusat
Bandar Raya. Monorel yang mempunyai jarak perjalanan sejauh 10 kilometer dengan
10 stesen berperanan sebagai penggerak orang ramai di Pusat Bandar Raya yang
beroperasi di landasan bertingkat.
399. Express Rail Link (ERL), satu sistem rel
berkelajuan tinggi, menghubungkan KL Sentral dan Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur (KLIA). Perhentian ERL di KL Sentral berfungsi sebagai sebuah
terminal lapangan terbang bandar bagi KLIA. Di Stesen KL Sentral, kemudahan
antara mod sedang disediakan bersama Komuter KTM, PRT dan LRT Sistem II, yang
membolehkan pengguna bertukar mod transit ke pelbagai destinasi.
400. Peningkatan taraf perkhidmatan rel KTMB
dan operasi Komuter KTM telah menambah kirakira 137 kilometer perkhidmatan rel
di antara Rawang - Seremban dan Sentul - Port Kelang melalui 39 stesen dan
perhentian. Perkhidmatan komuter ini dapat menarik sebahagian besar keperluan
perjalanan harian jarak jauh di antara Kuala Lumpur dan pinggir bandar.
ii.Isu
401. Penggunaan LRT dan komuter semakin
menggalakkan. Walau bagaimanapun, penggunaan yang optimum masih belum tercapai
kerana:
• Kemudahan pertukaran di stesen-stesen tidak mencukupi
termasuk tempat letak kereta dan motosikal dan penghubung pejalan kaki;
• Kurang integrasi antara stesen-stesen berasaskan rel; dan
• Perkhidmatan sokongan yang tidak memuaskan termasuk
kekurangan kekerapan bas pengantara dan liputan perkhidmatan.
402. Rajah 10.1 menunjukkan kemudahsampaian
relatif antara bas dan pengangkutan awam berasaskan rel. Adalah jelas bahawa
perkhidmatan pengangkutan berasaskan rel kurang mudah sampai berbanding
perkhidmatan bas dan, oleh yang demikian, kemampuan untuk memberi khidmat
kepada pengguna dalam satu perjalanan ke sesuatu destinasi adalah amat terhad.
Liputan perkhidmatan bas pengantara yang beroperasi dalam lingkungan 2
kilometer dari stesen masih tidak mencukupi untuk memastikan kemudahsampaian
yang berkesan.
• Tahap kemudahsampaian ke pengangkutan awam berasaskan rel
yang rendah.
b)Perkhidmatan Bas
i.Keadaan Semasa
403. Kini terdapat empat buah syarikat swasta
utama yang mengendalikan lebih kurang 15,000 perjalanan bas setiap hari. Setiap
syarikat beroperasi melalui lebih kurang 30 laluan, kebanyakannya secara radial
dan berakhir di Pusat Bandar Raya.
404. Pembaikan rangkaian bas sedang
diusahakan oleh DBKL dengan menyediakan laluan eksklusif bagi bas/teksi dalam
Pusat Bandar Raya, juga kemudahan perhentian bas yang selesa.
Pembaikan-pembaikan ini bertujuan untuk memberi penumpang satu pilihan
pengangkutan yang cepat, boleh dipercayai dan mudah.
ii.Isu
405. Walaupun pembaikan-pembaikan telah
dilakukan terhadap sistem perkhidmatan bas dan infrastruktur jalan, tahap
penggunaan bas adalah rendah, terutamanya disebabkan oleh pertindihan
perkhidmatan, kekerapan perkhidmatan yang masih belum boleh dipercayai,
kesesakan semasa waktu puncak dan keadaan bas yang kurang memuaskan.
• Perkhidmatan bas yang tidak diguna sepenuhnya; dan
• Perkhidmatan yang masih belum boleh dipercayai dan kurang
berkualiti.
406. Terminal bas utama sedia ada terletak di
Puduraya di Pusat Bandar Raya. Kebanyakan bas dan koc antara bandar dari luar
Kuala Lumpur berakhir di sini. Ini akan menambahkan kesesakan dan menyebabkan
waktu perjalanan yang lebih panjang bagi penumpang.
• Lokasi berpusat perhentian bas utama menyumbang kepada
kesesakan lalu lintas.
c)Teksi
i.Keadaan Semasa
407. Teksi merupakan elemen penting dalam
sistem pengangkutan awam yang menawarkan alternatif pengangkutan yang selesa
terutamanya di luar waktu puncak. Terdapat lebih kurang 24,721 buah teksi
berlesen di Kuala Lumpur yang dikendalikan oleh 4,183 pengusaha. Kajian
klasifikasi kenderaan yang dijalankan oleh ‘Japan International Coorperation
Agency’ (JICA) pada 1997 menunjukkan bahawa teksi menyumbang sebanyak 4 hingga
6 peratus bilangan kenderaan yang melalui Pusat Bandar Raya.
ii.Isu
408. Tiada kekurangan bilangan teksi tetapi
terdapat masalah untuk mendapatkan perkhidmatan teksi pada waktu puncak dan
ketika cuaca buruk.
• Perkhidmatan teksi yang masih belum boleh dipercayai.
10.2.3 PENGANGKUTAN PERSENDIRIAN
c)Kereta dan Tempat Letak Kereta
i.Keadaan Semasa
409. Berdasarkan laporan Jabatan Pengangkutan
Jalan, nisbah pendaftaran kereta dan motosikal di Kuala Lumpur adalah 985.7
bagi setiap 1,000 penduduk dalam tahun 2000. Walau bagaimanapun, berdasarkan
kepada Home Interview Survey yang dijalankan oleh JICA pada tahun 1998,
anggaran nisbah pemilikan kenderaan adalah lebih kurang 211 kereta bagi setiap
1,000 penduduk dan 164 motosikal bagi setiap 1,000 penduduk. Kenderaan
persendirian menyumbang 56.6 peratus daripada keseluruhan perjalanan bermotor
di Kuala Lumpur.
410. DBKL melalui proses kawalan kelulusan
perancangan bandar mengawal jumlah penyediaan ruang letak kereta dan motosikal
untuk sesuatu pembangunan baru. Walau bagaimanapun, pada masa ini caj letak
kenderaan adalah berdasarkan kuasa pasaran dan tidak tertakluk kepada manamana
perundangan.
411. Bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas,
DBKL telah mengurangkan tempat letak kenderaan di tepi-tepi jalan pada
jalan-jalan utama di kawasan yang telah padat membangun.
412. Terdapat lebih kurang 65,206 ruang letak
kereta di Pusat Bandar Raya (rujuk Rajah 10.2). Bangunan pejabat merekodkan
penggunaan ruang yang paling tinggi, dengan purata 71 peratus diikuti oleh
premis runcit (purata 49 peratus) dan pembangunan bercampur (purata 47
peratus). Pada amnya, penyediaan kemudahan tempat letak kereta di Pusat Bandar
Raya adalah lebih daripada mencukupi.
ii.Isu
413. Caj tempat letak kereta di Pusat Bandar
Raya lebih cenderung kepada perkhidmatan tempat letak kereta jangka panjang
dengan pengusaha-pengusaha menawarkan caj bermusim yang lebih rendah. Faktor
ini di samping pengangkutan persendirian yang lebih fleksibel telah
menggalakkan penduduk terus menggunakan pengangkutan persendirian ke Pusat
Bandar Raya.
• Bayaran letak kereta jangka panjang yang rendah di Pusat
Bandar Raya di samping ruang letak kereta yang banyak dan pergerakan
pengangkutan persendirian yang fleksibel, telah menyebabkan pengangkutan kereta
menjadi pilihan.
414. Di luar Pusat Bandar Raya terdapat
kekurangan tempat letak kereta di kawasan-kawasan berdekatan dengan
pengangkutan awam dan juga di pembangunan lot-lot kedai yang tidak menyediakan
kemudahan tempat letak kereta bertingkat atau di bawah bangunan.
• Kekurangan tempat letak kereta di luar Pusat Bandar Raya
di lokasi-lokasi yang mempunyai akses ke pengangkutan awam dan di pembangunan
lot kedai.
a)Motosikal
i.Keadaan Semasa
415. Motosikal mewakili lebih kurang 23
peratus pengguna jalan raya di Kuala Lumpur. Kenderaan ini yang kebanyakannya
digunakan oleh golongan muda dan berpendapatan rendah, merupakan pengangkutan
yang cepat, fleksibel dan ekonomik di Bandar Raya.
416. Sekitar 52 peratus daripada jumlah
kemalangan maut dan serius di Kuala Lumpur melibatkan motosikal. Motosikal
adalah penyumbang utama pencemaran udara dan kebisingan. Penyebaran kebisingan
daripada motosikal di Pusat Bandar Raya adalah melebihi had kebisingan yang
dibenarkan (Malaysia Environmental Quality Report 1996, DOE).
ii.Isu
•
Kadar kemalangan jalan raya melibatkan penunggang motosikal adalah lebih tinggi
berbanding jenis-jenis pengangkutan lain; dan
• Motosikal menyumbang kepada kebisingan dan pencemaran
udara.
10.2.4 INFRASTRUKTUR JALAN
i.Keadaan Semasa
417. Di bawah dasar penswastaan, program
pembinaan jalan bagi Lembah Klang yang terkandung dalam PSKL 1984, yang
melibatkan 23 batang jalan baru dan 21 projek pembaikan jalan utama telah
disiapkan termasuk beberapa tambahan lebuh raya bertol. Rangkaian jalan yang
sedia ada telah berjaya mencapai tujuan utamanya mengelakkan laluan terus
melalui Pusat Bandar Raya, mengurangkan kesesakan di jalan-jalan kecil dan
menyelerakkan lalu lintas dari Pusat Bandar Raya dengan berkesan.
418. Sebagai tambahan, beberapa projek
pembinaan jalan sedang dijalankan dan sebahagiannya telah ditandatangani
perjanjian konsesi atau telah diberi kelulusan dasar (rujuk Jadual 10.2).
ii.Isu
419. Ketidaksinambungan susunan jalan lama di
dalam bandar telah menyebabkan kurangnya laluan terus bagi lalu lintas yang
memasuki atau meninggalkan Pusat Bandar Raya, khususnya dari selatan sepanjang
Jalan Syed Putra dan dari timur di sepanjang Jalan Kuching. Laluan masuk ke
Bukit Bintang dari arah tersebut, akan melalui jalan-jalan sempit di dalam
kawasan bandar lama.
• Halangan dalam meningkatkan laluan sedia ada untuk lalu
lintas memasuki atau meninggalkan Pusat Bandar Raya.
420. Walaupun program pembinaan jalan telah
siap dan mencapai tujuannya, terdapat di sesetengah tempat penyambungan di
antara jalan-jalan utama dan jalan-jalan kecil belum begitu lengkap. Pada
waktu-waktu tertentu berlaku masalah lalu lintas terkumpul di
persimpangan-persimpangan separas (at-grade) yang tidak mampu menampung aliran
lalu lintas. Faktor-faktor ini telah menyebabkan ‘bottle neck’ dan menimbulkan
kesesakan terutama pada waktu-waktu puncak.
• Ketidaksinambungan dalam rangkaian jalan; dan
• Lalu lintas terkumpul pada persimpanganpersimpangan
separas.
421. Oleh kerana tiada keperluan yang dibuat
dalam perjanjian penswastaan, kebanyakan lebuh raya bertol telah dibina tanpa
penyediaan khusus untuk pengangkutan awam atau kenderaan pengangkut barangan.
Potensi memaksimumkan penggunaan semua lebuh raya untuk perhubungan
pengangkutan awam berkelajuan tinggi ke kawasankawasan luar belum diguna
sepenuhnya.
• Kekurangan dalam penyediaan keperluan khusus di lebuh raya
bertol bagi kenderaan awam dan kenderaan pengangkut barangan.
422. Jalan-jalan utama di Kuala Lumpur ada
kalanya tidak memenuhi keperluan klasifikasi jalan. Di samping itu beberapa
batang jalan tidak berfungsi seperti yang dirancang, seperti jalan-jalan
kawasan kediaman yang kini telah menjadi jalan besar disebabkan oleh
penyambungan yang kurang teliti. Kepincangan ini telah menyukarkan kerja mereka
bentuk dan pengurusan keseluruhan rangkaian jalan.
• Pengelasan jalan-jalan utama sedia ada tidak mencerminkan
kegunaan sebenar.
423. Nisbah plot bagi ruang perdagangan di
Pusat Bandar Raya telah terus bertambah pada tahun tahun kebelakangan ini dan
menambahkan tekanan terhadap rangkaian jalan raya. Projekprojek berskala besar
yang dirancang dan diluluskan akan meningkatkan lagi permintaan perjalanan
kenderaan persendirian.
• Tekanan yang semakin meningkat terhadap rangkaian jalan
raya disebabkan pembangunan perdagangan yang intensif dan berskala besar.
10.2.5 PENGANGKUTAN BUKAN-MOTOR
a)Pejalan Kaki
i.Keadaan Semasa
424. Satu rangkaian pejalan kaki sedang
dilaksanakan di Pusat Bandar Raya. Ini akan memudahkan pejalan kaki dan
pergerakan kenderaan bukan-motor di pusat-pusat aktiviti, menghubungkan stesen
transit dan terminal bagi memudahkan pertukaran antara mod, menyediakan laluan
laluan pejalan kaki dan bertindak sebagai langkah mengekang lalu lintas.
Rangkaian ini akan juga membantu meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dan
mengurangkan perjalanan kenderaan jarak dekat.
425. Keadaan semasa dan isu-isu berkaitan
dengan pergerakan pejalan kaki dibincangkan dalam Bab 14: Reka Bentuk Bandar
dan Landskap.
b)Basikal
i.Keadaan Semasa
426. Laluan basikal kini telah disediakan di
kawasan perumahan baru dan rekreasi. Biarpun Kuala Lumpur mempunyai rupa bumi
yang agak rata, berbasikal sebagai satu cara pengangkutan masih kurang
digunakan, sebahagiannya disebabkan keadaan iklim tempatan. Walau bagaimanapun,
terdapat beberapa kekurangan di dalam rangkaian laluan basikal sedia ada yang
menyumbang kepada kurangnya penggunaan basikal.
ii.Isu
427. Peluang-peluang masih tersedia bagi
menghubungkan pengangkutan basikal kepada perkhidmatan pengangkutan awam dan
perjalanan tempatan jarak dekat. Bandar raya lain telah menggunakan koridor
jalan raya, rel dan kawasan lapang untuk mewujudkan satu rangkaian laluan
basikal tempatan yang lengkap.
• Laluan basikal di kawasan perumahan mengalami kurang
penggunaan, penyalahgunaan (tempat letak kenderaan haram) dan kurang
penyelenggaraan; dan
• Kurang kesinambungan dalam rangkaian laluan basikal.
10.2.6 PENGANGKUTAN BARANGAN
i.Keadaan Semasa
428. Penjanaan perjalanan kenderaan lori
kebanyakannya lebih berpusat di kawasan perindustrian di pinggir Pusat Bandar
Raya. Pergerakan lori berat lebih tertumpu di zon-zon luar di selatan dan
merentasi wilayah ini melalui arah utara-selatan.
429. Di Kuala Lumpur masih juga terdapat
pergerakan kenderaan barangan berat (HGV) walaupun ia dilarang semasa waktu
puncak pagi dan petang.
ii.Isu
430. Terdapat beberapa kawasan di sebelah
utara dan selatan Bandar Raya di mana HGV, kenderaan binaan dan bas diletakkan
secara haram di kawasan perumahan yang menimbulkan ketidakselesaan kepada
penduduk.
• Meletak kenderaan barangan berat dan kenderaan binaan
secara haram di kawasan perumahan dan perdagangan disebabkan oleh kekurangan
kemudahan tempat letak kenderaan yang sesuai serta kesukaran penguatkuasaan.
10.3 OBJEKTIF
431. Bagi mewujudkan satu struktur bandar raya yang efisien dan
saksama di Kuala Lumpur, DBKL bertujuan untuk:
• menyediakan satu sistem pengangkutan yang komprehensif dan
bersepadu bagi keperluan perjalanan di antara dan di dalam bandar.
• menangani kemerosotan penggunaan pengangkutan awam dan
bagi mencapai pisah ragam (modal split) pengangkutan awam: persendirian 60:40
yang disasarkan pada tahun 2020;
• mengoptimumkan infrastruktur pengangkutan jalan dan rel
supaya ia beroperasi dengan keupayaan penuh dan kecekapan maksimum;
• memastikan supaya konfigurasi guna tanah disepadukan
dengan rangkaian jalan dan pengangkutan awam bagi pembangunan tanah secara
optimum; dan
• memastikan semua kawasan di Bandar Raya menikmati tahap
dan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam yang sama.
432. Bagi mempertingkatkan persekitaran hidup bandar raya, DBKL
bertujuan untuk:
• mewujudkan sebuah bandar raya yang mempunyai
kemudahsampaian yang tinggi untuk semua penghuni dan pengguna, khususnya,
sesuatu yang mesra pejalan kaki dan kurang upaya.
10.4 DASAR DAN
CADANGAN
10.4.1 UMUM
a)Pengurusan Permintaan Perjalanan
433. Jika trend semasa berterusan, perjalanan
dengan berkereta pada tahun 2020 dijangka akan meningkat hampir dua kali ganda
daripada tahun 1997. Meningkatkan keupayaan jalan dengan membina jalan baru dan
memperluaskan jalan sedia ada, dalam jangka masa panjang, tidak lagi akan
menyelesaikan masalah tetapi sekadar menangguhkannya sehingga lebih banyak
jalan perlu dibina. Kebanyakan kawasan di Bandar Raya, terutama di Pusat Bandar
Raya telah dibangunkan dan pengambilan balik tanah untuk pembinaan jalan adalah
bertambah sukar dan mahal.
434. DBKL sedang menyusun strategi Pengurusan
Permintaan Perjalanan yang bertujuan untuk mengarah semula pola pergerakan
daripada pengangkutan persendirian kepada pengangkutan awam dengan
mengintegrasikan mod-mod pengangkutan, memperkembangkan dan mempromosikan
pengangkutan awam dan tidak menggalakkan penggunaan pengangkutan persendirian.
Sistem pengangkutan awam di Bandar Raya seharusnya dapat bersaing, selesa,
mesra pengguna dan mudah sampai kepada semua golongan pendapatan.
Dasar:
TT 1: DBKL akan menentukan langkahlangkah Pengurusan
Permintaan Perjalanan untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam
dilaksanakan melalui kerjasama dengan pihak pihak berkuasa yang berkepentingan.
TT 2: DBKL akan melaksanakan program mengawal kenderaan
persendirian untuk membaiki sirkulasi lalu lintas di Pusat Bandar Raya dengan
tidak menggalakkan perjalanan berkereta dari dan ke Pusat Bandar Raya semasa
waktu puncak dan menguatkuasakan langkah-langkah mengehadkan akses ke
sesetengah kawasan di Bandar Raya.
b)Pengurusan Sistem Lalu Lintas
435. Bagi mengoptimumkan sistem pengurusan
lalu lintas, sistem yang sedia ada perlu dipertingkatkan kepada satu sistem
yang boleh memantau dan mengawal semua aspek pergerakan lalu lintas di Bandar
Raya.
Dasar:
TT 3: DBKL akan meningkatkan sistem pengurusan lalu lintas.
c)Pembangunan Berorientasikan Transit
436. Satu objektif utama sektor pengangkutan
ialah pengintegrasian guna tanah dengan pengangkutan dan membangunkan satu
Strategi Pembangunan Berorientasikan Transit. Strategi ini dibincangkan secara
terperinci dalam Bab 6: Guna Tanah dan Strategi Pembangunan, ia akan
mempromosikan pembangunan intensif di sepanjang rangkaian rel. Sebarang
rancangan penyambungan kepada rangkaian rel hendaklah menyokong dasar ini
dengan memastikan stesen-stesen rel memberi khidmat langsung kepada pusat-pusat
bandar terpilih.
Dasar:
TT 4: DBKL akan mewujudkan Zon Perancangan Transit bagi
memudahkan intensifikasi kawasan kediaman, perdagangan dan pembangunan
bercampur berorientasi transit di sekitar stesenstesen rel.
10.4.2 PENGANGKUTAN AWAM
a)Pentadbiran Pengangkutan Awam
437. Tumpuan yang semakin meningkat serta
peruntukan perbelanjaan yang tinggi bagi pengangkutan awam memerlukan
penyelarasan dan sokongan antara jabatan-jabatan kerajaan serta agensi-agensi
lain yang terlibat. DBKL akan mengambil langkah-langkah untuk membantu
menjayakan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan berkaitan dengan pentadbiran
pengangkutan awam.
Dasar:
TT 5: DBKL akan membantu menyelaras perancangan, pembangunan
dan operasi pengangkutan awam dan halhal berkaitan dengan pengangkutan
persendirian.
b)Integrasi Pengangkutan Awam
438. Selaras dengan pelaksanaan dasar
kerajaan, penekanan akan diberikan kepada penyediaan satu sistem pengangkutan
awam yang bersepadu, fleksibel, pelbagai dan efisien berorientasikan
kemudahsampaian dan keselesaan penumpang. Keutamaan dalam pendekatan ini ialah
pengintegrasian mod-mod pengangkutan awam dengan pengangkutan persendirian.
Dengan tersusunnya kemudahan pertukaran antara mod dan sistem tiket bersepadu,
perjalanan penumpang akan menjadi lebih senang dan lancar.
439. Bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas
di jalan tempatan, kemudahan penukaran bas dan rel utama serta kemudahan letak
dan naik akan disediakan di pertemuan stesen rel dan jalan-jalan utama.
Lokasi-lokasi penukaran yang dicadangkan adalah seperti yang ditunjukkan di
dalam Rajah 10.3.
Dasar:
TT 6: DBKL akan membantu pelaksanaan dasar kerajaan
berhubung dengan sistem pengangkutan awam bersepadu.
c)Pengangkutan Awam Berasaskan Rel
440. Rangkaian rel merupakan cara yang paling
efisien dalam menyediakan pengangkutan cepat berkapasiti tinggi. Rancangan
jangka sederhana dan panjang bagi memperkenalkan sistem sistem rel lain seperti
tram dan perkembangan rangkaian rel ke kawasan luar perlu dikaji setiap 10
tahun bagi menentukan daya kemungkinannya.
441. Kawasan pertumbuhan utama di Kuala
Lumpur kini telah mempunyai hubungan yang baik dengan Pusat Bandar Raya kecuali
kawasan laluan timur-barat. Cadangan laluan baru LRT Damansara- Cheras yang
akan menghubungkan kawasan pertumbuhan di sebelah timur dan barat akan dikaji
bersama dengan laluan-laluan baru rel yang memberi perkhidmatan ke pusat
daerah, kawasan pembangunan komprehensif dan kawasan pertumbuhan.
442. Adalah juga dicadangkan supaya laluan
STAR LRT dari stesen Sentul Timur disambung ke utara menghala Taman Wahyu dan
ke barat menghala Kepong. Satu lagi laluan dari stesen Sri Petaling disambung
ke barat bagi memberi perkhidmatan di sekitar Bukit Jalil.
443. Sambungan bagi LRT dicadangkan dari
stesen KL Sentral ke cadangan pusat daerah Bukit Indah. Kelima-lima laluan baru
ini akan menambahkan jarak laluan sepanjang 41.9 kilometer.
Dasar:
TT 7: DBKL akan membantu dalam penyediaan kajian kemungkinan
bagi penyambungan masa hadapan rangkaian rel dan menyelaras pelaksanaannya
dengan pihak-pihak berkuasa yang berkaitan.
d)Perkhidmatan Bas
444. Bas akan kekal sebagai pengangkutan awam
utama khususnya di luar Pusat Bandar Raya pada masa hadapan. Langkah-langkah
akan diambil untuk memperbaiki kebolehpercayaan, liputan, keselesaan dan
kesenangan perkhidmatan bas bagi meningkatkan penggunaannya.
Dasar:
TT 8: DBKL akan membantu menentukan langkah-langkah bagi
membaiki perkhidmatan bas secara maksimum ke kawasan pertumbuhan, semua pusat
pekerjaan dan perdagangan serta menyelaras dengan agensi-agensi dan
pengusaha-pengusaha berkaitan.
445. DBKL akan mengambil langkah-langkah
untuk mewujudkan satu rangkaian terminal bas di Kuala Lumpur bagi bas dan koc
yang memberi perkhidmatan berlainan untuk peringkat antarawilayah dan
dalam-wilayah. Terminal-terminal ini akan diintegrasikan dengan sistem rel di
stesen pertukaran multi-modal untuk memudahkan laluan ke Pusat Bandar Raya dan
kawasan lain di Bandar Raya. Terminal perkhidmatan antara-wilayah akan
dibangunkan di Gombak (untuk perkhidmatan ke timur), Bandar Tasik Selatan
(untuk perkhidmatan ke selatan), Jalan Ipoh (untuk perkhidmatan ke utara dan
stesen di KPK Jalan Duta (untuk perkhidmatan ke barat). Terminal Hentian Putra,
Pasarama Kota dan Plaza Rakyat akan dijadikan terminal perkhidmatan
dalam-wilayah. Terminal untuk perkhidmatan tempatan akan dibangunkan di
beberapa lokasi sesuai dalam Bandar Raya (rujuk Rajah 10.4).
Dasar:
TT 9: DBKL akan melaksanakan satu rangkaian terminal bagi
perkhidmatan bas antara-wilayah, dalam-wilayah dan tempatan.
e)Kereta dan Tempat Letak Kereta
i.Keadaan Semasa
446. Dengan mengawal penyediaan dan
pengagihan kemudahan meletak kereta di Kuala Lumpur, DBKL boleh membantu
mengukuhkan pengangkutan awam dan objektif Pengurusan Permintaan Perjalanan
dengan menjadikan pengangkutan persendirian sesuatu yang kurang menarik
berbanding dengan pengangkutan awam, khususnya di Pusat Bandar Raya. Ini boleh
diperkukuhkan lagi dengan mengawal kos letak kereta di kawasan yang berbeza di
Bandar Raya.
Dasar:
TT 10: DBKL akan mengawal penawaran kemudahan tempat letak
kereta.
f)Teksi
447. Memandangkan peranan penting teksi dalam
menghidupkan aktiviti perniagaan dan perdagangan Bandar Raya, adalah mustahak
untuk meningkatkan tahap perkhidmatan dan kebolehpercayaannya. Bagi mencapai
perkhidmatan pengangkutan awam secara menyeluruh, perkhidmatan teksi perlu
dikembangkan dengan perkhidmatan yang inovatif dalam pasaran baru.
Dasar:
TT 11: DBKL akan membantu membaiki kebolehpercayaan dan
penawaran perkhidmatan teksi dengan penyelarasan bersama agensi-agensi yang
berkaitan
10.4.3 PENGANGKUTAN PERSENDIRIAN
a)Motosikal
448. Ketika Kuala Lumpur berusaha untuk
mewujudkan satu persekitaran hidup yang lebih bersih dan selamat, peranan
motosikal dalam pengangkutan perlu dikaji. Pengguna motosikal merupakan
peratusan yang besar yang akan menikmati faedah daripada sistem pengangkutan
awam yang lebih komprehensif. Perspektif jangka masa panjang dalam pembangunan
sistem pengangkutan awam akan memperlihatkan kepada menggalakkan pengguna
motosikal untuk lebih menggunakan pengangkutan awam dan mengehadkan penggunaan
motosikal di Pusat Bandar Raya hanya bagi pengguna-pengguna tertentu. Untuk
jangka masa panjang, langkah-langkah untuk menggalakkan pengguna motosikal
lebih menggunakan pengangkutan awam dan mengehadkan penggunaan motosikal di Pusat
Bandar Raya hanya bagi pengguna-pengguna tertentu perlu dikaji.
449. Dalam jangka masa pendek dan sederhana,
langkah-langkah akan dilaksanakan untuk meningkatkan keselamatan pengguna
motosikal dan penguatkuasaan yang lebih ketat ke atas peraturan sedia ada.
Dasar:
TT 12: DBKL akan membantu dan menyelaras dengan
agensi-agensi yang berkaitan dalam meningkatkan infrastruktur jalan bagi
meningkatkan keselamatan pengguna motosikal.
10.4.4 INFRASTRUKTUR JALAN
a)Pembangunan Jalan Baru
450. Sistem jalan utama sedia ada, yang
sedang dibina atau komited dikira telah mencukupi untuk keperluan Kuala Lumpur
sehingga tahun 2020. Walau bagaimanapun dua jalan baru dicadangkan pada
dasarnya untuk memperbaiki aliran lalu lintas ke dalam dan keluar Pusat Bandar
Raya. Memandangkan masalah yang dihadapi untuk meningkatkan kapasiti jalan
sedia ada di Pusat Bandar Raya dan kos yang tinggi untuk mendapatkan koridor
baru, maka satu lebuh raya ekspres bawah tanah dicadangkan melalui Jalan Raja
Chulan menghubungkan ke Jalan Lingkaran Dalam di sebelah timur.
451. Satu jalan pintasan dalam bandar juga
dicadangkan, sebahagiannya melalui bawah tanah bagi menyediakan laluan terus
dari Jalan Syed Putra di sebelah selatan Pusat Bandar Raya ke Jalan Dang Wangi
(rujuk Rajah10.5 dan Jadual 10.3).
Dasar:
TT 13: DBKL akan menentukan program pembangunan jalan dan
menyelaras dengan pihak pihak berkuasa yang berkaitan mengenai pelaksanaannya.
452. Untuk keperluan masa hadapan, jika ada,
pembinaan jalan-jalan baru perlu dikaji dalam konteks dasar-dasar am
pengangkutan DBKL. Walau bagaimanapun, sebarang jalan baru haruslah menyokong
dasar-dasar DBKL untuk menggalakkan pengangkutan awam dengan menyediakan
peruntukan bagi kenderaan berpenumpang tinggi dan/atau laluan khas bas.
Cadangan rizab rizab jalan ini hendaklah ditentukan dengan jelas bagi
mengelakkan pencerobohan.
453. Projek-projek penswastaan bagi jalan
arteri perlu mematuhi cadangan rangkaian jalan dalam pelan struktur dan pelan
tempatan dan tidak dirancang secara berasingan.
Dasar:
TT 14: DBKL akan memastikan agar jalanjalan utama yang
dicadangkan dan komited dipertimbangkan dalam konteks perkhidmatan pengangkutan
awam yang lebih luas, pergerakan kenderaan barangan dan kesannya terhadap
masyarakat dan alam sekitar.
b)Pembaikan Rangkaian Jalan Sedia Ada
454. Dalam usaha menyiapkan rangkaian jalan
sedia ada, meningkatkan kapasiti dan melebarkan jalan-jalan sempit yang menyebabkan
kesesakan, satu program pembaikan rangkaian jalan hendaklah dilaksanakan untuk
menaik taraf jalan sedia ada ke jalan arteri, membina penyambung jalan terputus
dan membaiki persimpangan (rujuk Rajah 10.5 dan Jadual 10.3).
Dasar:
TT 15: DBKL akan menentukan program pembaikan jalan dan
menyelaras dengan pihak-pihak berkuasa yang berkaitan mengenai pelaksanaannya.
b)Hierarki Jalan
i.Keadaan Semasa
455. Bagi tujuan pemantauan yang berkesan dan
mengoptimumkan penggunaan sistem jalan sedia ada, status sebenar semua jalan
sedia ada dan sistem hierarki jalan akan disemak semula.
Dasar:
TT 16: DBKL melaksanakan sistem klasifikasi hierarki jalan
yang telah diperbaiki.
10.4.5 PENGANGKUTAN BUKAN-MOTOR
a)
Pejalan Kaki
456. Dasar-dasar mengenai pejalan kaki
dibincangkan di dalam Bab 14: Reka Bentuk Bandar dan Landskap.
457. Satu persekitaran mesra pejalan kaki
akan diwujudkan bagi seluruh Bandar Raya denganpenekanan khusus di Pusat Bandar
Raya dan pusat-pusatbandar lain. Rangkaian pejalankaki di Pusat Bandar Raya
akan menitikberatkan perhubungankemudahan pengangkutan awam dan menggabungkan
elemen-elemen reka bentuk bandar. Satu cadangan taman di lingkaran PRT yang
merentasi taman di bahagian barat Pusat Bandar Raya akan dihubungkan ke laluan
PRT sedia ada dan menjadi pelengkap kepada rangkaian pejalan kaki.
458. Perhatian khusus akan diberikan kepada
kawasan di sekitar stesen tukaran pengangkutan utama bagi memastikan ia
menggabungkan kemudahan-kemudahan yang membolehkannya mudah sampai kepada orang
tua dan kurang upaya.
Dasar:
TT 17: DBKL akan menyediakan garis panduan dan piawaian bagi
keperluan warga tua dan kurang upaya untuk diguna pakai pada rangkaian pejalan
kaki, terminal dan stesen pengangkutan awam baru serta stesen-stesen pertukaran
pelbagai mod.
b)
Basikal
459. Penggunaan basikal boleh dan harus terus
digalakkan sebagai satu bentuk riadah dan sebagai satu alternatif pengangkutan
persendirian bagi perjalanan pendek di kawasan perumahan dan rekreasi.
Dasar:
TT 18: DBKL akan membaiki rangkaian laluan basikal dan
mempromosikan aktiviti berbasikal di kawasan perumahan dan rekreasi.
10.4.6 PENGANGKUTAN BARANGAN
460. Tempat letak lori yang mencukupi bagi
manfaat pemilik lori barangan berat yang tinggal di Bandar Raya akan disediakan
supaya mereka tidak meletakkan kenderaan di kawasan perdagangan dan perumahan.
Tempattempat letak lori ini akan juga mengandungi kemudahan-kemudahan untuk koc
dan kenderaan binaan.
Dasar:
TT 19: DBKL akan menyediakan tempat letak kenderaan dan
kemudahan tambahan untuk kenderaan barangan berat, koc dan kenderaan binaan di
lokasilokasi yang sesuai di pinggir Bandar Raya
10.5 KEPERLUAN MASA
HADAPAN
10.5.1 SISTEM PENGANGKUTAN AWAM BERSEPADU
461. Rangkaian rel lengkap sehingga tahun
2020 termasuk stesen letak dan naik bersepadu dan kemudahan pertukaran
multi-modal ditunjukkan di dalam Rajah 10.3.
10.5.2 RANGKAIAN JALAN
462. Kuala Lumpur masih memerlukan satu
rangkaian jalan yang lengkap bagi membolehkan perjalanan yang efisien dan
mudah. Keperluan jalan-jalan baru dan pembaikan jalan-jalan sedia ada
ditunjukkan di dalam Rajah 10.5 dan diringkaskan di dalam Jadual 10.3.
Sumber;http://www.dbkl.gov.my/