Kesan Pelaksanaan Sistem Pengangkutan Awam Darat di Malaysia
Kerajaan Malaysia
telah memperuntukkan jutaan ringgit untuk meningkatkan mutu sistem pengangkutan
awam darat. Pengangkutan awam ini merangkumi bas, kereta api transit, dan teksi.
Pelbagai langkah telah diambil untuk menambah baik sistem ini termasuklah
menambah bilangan bas dan membina aliran kereta api transit. Pelaksanaan sistem
ini sememangnya memberikan kesan kepada masyarakat dan negara.
Pelaksanaan
sistem pengangkutan awam darat dapat memudahkan masyarakat kerana dapat
mengurangkan masalah kesesakan jalan raya. Masalah ini sering berlaku di
bandar-bandar utama yang sibuk seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya. Punca
utamanya ialah jumlah penggunaan kereta sendiri yang banyak di jalan raya.
Sebagai contohnya, penggunaan kemudahan pengangkutan awam adalah sedikit jika
dibandingkan dengan penggunaan kereta sendiri. Kesedaran penggunaan
pengangkutan awam haruslah dipupuk sejak kecil lagi. Apabila semakin ramai
pengguna menggunakan sistem pengangkutan ini, maka masalah kesesakan jalan raya
dapat dikurangkan. Hakikatnya, pelaksanaan sistem pengangkutan awam darat dapat
mengurangkan masalah kesesakan jalan raya.
Seterusnya,
ekonomi dan produktiviti negara dapat dijana merupakan satu daripada kesan
pelaksanaan sistem pengangkutan awam. Hal ini dapat dilihat apabila para
pekerja menggunakan pengangkutan awam ini. Melalui penggunaan pengangkutan
awam, sudah tentu kerajaan mendapat keuntungan dan hasilnya, kerajaan akan
membangunkan negara ini dengan menambah prasarana dan menambah baik
pengangkutan awam yang sedia ada. Sebagai contoh, pekerja kilang atau pejabat
dapat sampai ke tempat kerja dengan awal. Hal ini kerana ketepatan masa dan pembaziran
masa tidak berlaku. Pekerja juga akan bersemangat ketika bekerja. Jelaslah
bahawa ekonomi dan produktiviti negara dapat dijana melalui pelaksanaan sistem
ini.
Berikutnya,
pencemaran udara di Malaysia dapat diminimumkan natijah daripada pelaksanaan
sistem ini. Kini, kita sering mendengar bahawa pencemaran udara menjadi
penyebab utama masalah kesihatan seperti asma, batuk, selsema dan lain-lain.
Selain daripada pembakaran terbuka, asap kenderaan adalah faktor penyumbang
kepada pencemaran udara. Sebagai contohnya, udara yang tercemar mengandungi
karbon monoksida dan sulfur dioksida yang boleh menyebabkan taraf kesihatan
penduduk merosot. Oleh itu, penggunaan kereta sendiri haruslah dikurangkan.
Masyarakat perlulah cakna menggunakan pengangkutan awam dalam kehidupan
seharian kerana dapat mengurangkan penggunaan kereta sendiri. Secara amnya,
pelaksanaan sistem ini mampu meminimumkan pencemaran udara di Malaysia.
Selanjutnya,
kesan pelaksanaan sistem pengangkutan awam darat adalah lebih mesra alam dan
mesra pengguna. Hal ini sangat penting bagi menjamin kepercayaan dan kesetiaan
terhadap penggunaan pengangkutan awam. Dalam era yang penuh kesibukan ini,
pengangkutan awam sememangnya menjadi pilihan rakyat yang bekerjaya.
Pengangkutan awam adalah mesra alam kerana menggunakan tenaga elektrik untuk
beroperasi seperti transit aliran ringan (LRT). Pengangkutan awam juga mesra
pengguna kerana pengguna tidak perlu memandu. Pengguna hanya perlu duduk dan
boleh melakukan perkara lain seperti membaca buku, makan dan sebagainya.
Tuntasnya, pengangkutan awam adalah lebih mesra alam dan pengguna.
Selain itu,
pelaksanaan sistem ini memberikan kesan iaitu mampu memberikan keselesaan
kepada para pengguna pengangkutan awam. Pengguna yang berasa selesa menggunakan
pengangkutan awam akan menggunakannya pada masa hadapan. Keselesaan yang
dimaksudkan ialah tempat duduk dalam kenderaan awam yang banyak, penggunaan
penghawa dingin dalam pengangkutan awam, ruang menunggu yang selesa seperti di
terminal LRT dan sebagainya. Sebagai contoh, kita akan lebih suka memilih
perkhidmatan yang selesa berbanding yang sebaliknya. Oleh itu, transformasi
sistem pengangkutan awam yang dilakukan sememangnya akan menarik lebih ramai
lagi orang awam untuk menggunakannya. Tuntasnya, pelaksanaan sistem ini
sememangnya memberikan kesan.
Akhir sekali,
pelaksanaan sistem ini menjadikan negara kita mempunyai bandar-bandar yang
selesa dan sesuai untuk didiami. Hal ini demikian kerana mempunyai sistem
pengangkutan yang mudah. Sistem pengangkutan awam darat ini mampu menghubungkan
penduduk bandar dengan luar bandar sekaligus memajukan kawasan luar bandar.
Sebagai contohnya, penduduk luar bandar yang ingin ke bandar atas urusan
pekerjaan boleh berulang-alik ke kampung halaman tanpa halangan. Kemudahan ini
sememangnya menjadikan Malaysia unik kerana penduduk luar bandar tidak
dipinggirkan dari pembangunan negara. Jelaslah bahawa pelaksanaan sistem
pengangkutan awam darat memberikan kesan kepada masyarakat.
Keseluruhannya, semua pihak haruslah berganding bahu dalam menjadikan
sistem pengangkutan awam darat menjadi pilihan utama. Segala penambahbaikan
seperti menyediakan kawasan khas untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) adalah
digalakkan bagi memenuhi keselesaan pengguna. Pihak kerajaan haruslah peka
dalam memajukan sistem pengangkutan awam darat agar setanding dengan sistem
pengangkutan awam darat negara luar.
Sumber:http://kemilauadiwarna.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment