Kepentingan Pengangkutan Awam Kepada Negara Kita
Dalam Bajet Tahun 2011, Perdana Menteri memangku Menteri
Kewangan telah membentangkan bahawa Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT)
akan dibina bermula pada tahun hadapan dan dijangka akan siap sebelum tahun
2020. Belanja untuk membina sistem MRT dianggar akan mencecah RM 40 bilion.
Senario ini memanifestasikan bahawa kerajaan sedang berusaha untuk meningkatkan
mutu sistem pengangkutan awam di negara kita. Setakat ini hanya kira-kira 32%
pengguna jalan raya tempatan menggunakan pengangkutan awam manakala di negara
maju seperti Jepun dan negara-negara Eropah lebih daripada 70% pengguna jalan
raya ialah penumpang pengangkutan awam. Dalam konteks ini, pengangkutan awam
merupakan unsur utama bagi penduduk bandar-bandar besar di dunia. Untuk
mencapai negara maju, semua pihak perlu sedar akan kepentingan pengangkutan
awam kepada negara kita.
Kita sedia maklum bahawa salah satu kemaslahatan
pengangkutan awam adalah dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas, terutamanya
di bandar-bandar besar terutama di Lembah Klang seperti Kuala Lumpur, Petaling
Jaya dan Shah Alam. Kesesakan lalu lintas merupakan duri dalam daging dan mimpi
ngeri kepada penduduk bandar. Ketika pergi ke atau balik dari pejabat, mereka
terpaksa berjam-jam di jalan raya akibat kesesakan lalu lintas. Sehubungan
dengan itu, peningkatan mutu perkhidmatan pengangkutan awam dapat menarik lebih
banyak penumpang sehingga penggunaan kenderaan sendiri akan berkurangan di
jalan raya. Secara tidak langsung, kesesakan lalu lintas dapat diminimumkan.
Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa perlu menetap lintasan khas sebagai laluan
kenderaan awam seperti bas dan teksi. Alat pengangkutan awam yang tidak
mengalami kesesakan lalu lintas dapat menarik pengguna untuk menggunakan
pengangkutan awam. Walhasilnya, pembangunan dalam sistem pengangkutan awam di
tanah air dapat membendung kesesakan lalu lintas yang semakin kronik.
Selain itu, pengangkutan awam yang bermutu turut
memperkasakan industri pelancongan. Di rantau Asia Tenggara ini, industri
pelancongan negara kita masih ketinggalan berbanding dengan negara Thailand dan
Singapura. Salah satu sebab ialah pengangkutan awam di Bangkok dan Singapura
sangat canggih dan memudahkan pelancong ke sesuatu destinasi. Sebaliknya sistem
pengangkutan awam di Kuala Lumpur masih belum mencapai taraf negara maju. Di
Hong Kong, Singapura dan Taiwan, penumpang hanya perlu membeli sekeping Kad
Penumpang untuk menaiki MRT, bas malah Feri. Sistem pengangkutan yang canggih,
selesa, mesra , bersih dan selamat dapat memberikan imej yang baik kepada
pelancong ke negara kita. Malangnya, bas ekspres dan bas persiaran di negara
kita sering terlibat dalam kemalangan yang dahsyat. Tambahan pula, sesetengah
pemandu teks yang biadab dan meminta tambang yang berlebihan akan menjejaskan
industri pelancongan di negara kita. Tegasnya, pengusaha pengangkutan jalan
raya tanah air kita perlu meningkatkan mutu perkhidmatan mereka kerana
perkhidmatan pengangkutan awam yang berkualiti dapat mendorong industri
pelancongan negara kita.
Lebih-lebih lagi, sistem pengangkutan awam yang baik dapat
menjanakan pembangunan ekonomi negara. Tanpa disedari bahawa pengangkutan awam
yang berkualiti dapat meningkatkan produktiviti negara. Hal ini demikian kerana
pekerja dapat sampai di pejabat atau kilang tanpa lewat dengan adanya sistem
pengangkutan yang menepati jadual waktu. Saban hari banyak orang lewat ke medan
kerja kerana mengalami kesesakan lalu lintas. Hal ini merupakan satu pembaziran
kerana para pekerja telah letih dan penat setelah tiba di tempat kerja. Jika
negara kita memiliki sistem pengangkutan yang canggih terutamanya MRT, LRT, Komuter
dan sebagainya, pekerja kita dapat sampai di destinasi tempat kerja dengan
cepat dan tepat pada masa. Nescaya, mereka lebih bersemangat dan memiliki daya
produktiviti yang lebih tinggi. Daya pengeluaran yang tinggi dapat memangkinkan
pembangunan ekonomi negara supaya negara kita dapat duduk sama rendah, berdiri
sama tinggi dengan negara maju. Gara-garanya, pengangkutan awam yang canggih
berkait rapat dengan produktiviti negara .
Tambahan pula, pembangunan sistem pengangkutan awam dapat
meminimumkan pencemaran udara di negara kita. Beberapa dasawarsa ini, kualiti
udara negara kita semakin merosot sehingga negara kita dilanda jerebu. Salah
satu faktor utama adalah kenderaan di jalan raya semakin banyak. Atas promosi
pengeluar automobil dan syarikat kewangan, rakyat suka memiliki kenderaan
sendiri. Mereka tidak suka menggunakan pengangkutan awam. Sesungguhnya rakyat
kita perlu dicelikkan supaya menyedari bahawa menaiki pengangkutan awam
merupakan tindakan mesra alam. Jika orang ramai menggunakan perkhidmatan bas,
LRT dan sebagainya, kenderaan yang ada di jalan raya akan berkurangan sehingga
asap yang mengandungi toksik dapat dikurangkan terutama karbon monoksida,
sulfur dioksida dan lain-lain lagi. Ternyata, pengangkutan awam yang canggih
lebih mesra alam, khasnya MRT yang akan dibina. Natijahnya, orang ramai perlu
digalakkan supaya menaiki pengangkutan awam untuk meningkatkan kualiti alam
sekitar kita.
Secara tuntasnya, sudah terang lagi bersuluh, pengangkutan
awam yang berkualiti merupakan elemen yang penting untuk menjamin pembangunan
negara kita. Sehubungan itu pihak berkuasa dan pengusaha pengangkutan awam
perlu bersinergi bagai aur dengan tebing untuk memartabatkan mutu pengangkutan
awam di tanah air kita. Sistem pengangkutan yang canggih dapat menjanakan
pembangunan negara kita ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang.
Sumber:https://twoohiok.wordpress.com
No comments:
Post a Comment