. PENGANGKUTAN AWAM
Langkah Menggalakkan Orang Ramai Menaiki Pengangkutan Awam
di Negara Kita.
PENGENALAN
(ISU) “Zaman beralih, musim bertukar”, selepas tamat
penjajahan asing selama 446 tahun yang telah lama menghantui rakyat, Malaysia
telah menjejakkan kaki ke satu ambang yang rancak sekali. Untuk menyesuaikan
diri di mata dunia dan memenuhi kehendak rakyat, Malaysia telah mengalami
pelbagai anjakan paradigma. Kerajaan telah berusaha menyediakan prasarana yang
mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan awam berjalan lancar.
(AC)Rangkaian pengangkutan awam di negara kita boleh dikategorikan sebagai
pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT), Kereta api, komuter
dan monorel. (AH)Jikalau bukan kita sebagai warganegara Malaysia yang menyokong
pengangkutan awam, siapakah lagi yang mesti menyokongnya? (AI) Lantaran itu,
langkah-langkah yang proaktif dan drastik hendaklah diimplementasi untuk
menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.
ISI
(Isi 1) (AH) Menurut satu kajian yang dibuat dalam kalangan
rakyat, banyak pihak mengatakan bahawa kepelbagaian sistem tiket untuk
menggunakan rangkaian perkhidmatan awam yang berlainan telah mengurangkan minat
mereka untuk bergerak dari tempat asal ke destinasi lain dengan penukaran
rangkaian perkhidmatan awam. Oleh itu, kerajaan haruslah melaksanakan sistem
tiket bersepadu dengan harga yang mampu dibeli oleh orang ramai khususnya
mereka yang berpendapatan rendah supaya dapat menggalakkan orang ramai
menggunakan pengangkutan awam. (AC)Kerajaan haruslah menubuhkan sebuah Lembaga
Pengangkutan Awam (PTA) untuk menguruskan pengangkutan awam di negara kita. Pertubuhan
tersebut dapat mempercepat proses perlaksanaan sistem tiket bersepadu yang
masih dalam peringkat kajian. (AH) Selain itu, kerajaan juga harus mengambil
contoh pelaksanaannya di negara barat seperti di Melbourne, Australia. (AC)Di
Melborune penumpang hanya perlu membeli satu tiket pada kos yang rendah untuk
menaiki kereta api atau menaiki bas. (AP)Hal ini bertepatan dengan peribahasa
“serampang dua mata”. Pendekataan ini bukan sahaja dapat menjimatkan wang
golongan yang kurang berupaya tetapi juga dapat memudahkan rakyat untuk
mengatur pejalanan laluan harian mereka. (AK)Jadi jikalau sistem tiket
bersepadu ini dapat direalisasikan, jumlah penumpang pastilah dapat mencapai
sasaran yang telah diramalkan oleh pengendali pengangkutan awam.
(Isi 2) Langkah seterusnya yang dapat menarik perhatian
rakyat untuk menaiki pengangkutan awam ialah meningkatkan kuantiti dan kualiti
pengangkutan awam. (AH) Bilangan kereta api atau bas awam haruslah
dipertingkatkan jumlahnya bagi memenuhi kehendak rakyat serta mengatasi masalah
kekurangan pengangkutan awam di sesetengah kawasan yang menjadi rungutan orang
ramai. (AC) Selain itu, KTM (Kereta Api Tanah Melayu) haruslah mencontohi
perkhidmatan kereta api di negara Jepun yang telah menggunakan kuasa elektrik
seprti shinkansen (bullet train) sehingga mencapai kelajuan melebihi 200
kilometer sejam. (AH)Dengan menggunakan lokomotif berkuasa elektrik, kekerapan
KTM di negara kita pasti dapat ditingkatkan. Kekerapan pengangkutan awam adalah
salah satu unsur untuk menarik perhatian penumpang terutamanya mereka yang
memandu kereta atau menunggang motosikal. (AH) Dengan kekerapan perjalanan
pengangkutan awam yang tinggi, penumpang tidak akan membazirkan masa untuk
menunggu ketibaan pengangkutan awam tersebut. Hal ini dapat mengurangkan masa
perjalanan orang ramai secara keseluruhannya. Dalam era globalisasi yang
mengutamakan kepantasan, kelemahan perkhidmatan dan kelewatan jadual perjalanan
pengangkutan awam akan merumitkan kehidupan masyarakat dan menyebabkan mereka
kurang berkeyakinan terhadap pengakutan awam di negara kita. Lantaran itu, cara
ini haruslah dilaksanakan untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat terhadap
sistem perkhidmatan pengangkutan awam.
(Isi 3) Pada masa yang sama, langkah kerajaan menggalakkan
pemasangan televisyen di dalam bas ekspres mendapat banyak komen yang baik
daripada orang ramai. Hal ini kerana langkah ini dapat menghiburkan rakyat
dalam perjalanan mereka. Para penumpang berpeluang untuk menonton pelbagai
siaran televisyen ketika berada dalam perjalanan mereka dan menjadikan
perjalanan lebih menarik. Perkara ini haruslah diperluaskan dalam pengangkutan
awam yang lain seperti Komuter dan LRT untuk menarik lebih banyak penumpang
menaiki pengangkutan awam. Selain menghiburkan para penumpang ketika dalam perjalanan,
siaran televisyen juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan
masyarakat dengan menyiarkan rancangan cinta akan negara, rancangan yang
mengimbas kembali detik-detik bersejarah di negara kita dan sebagainya.
Kemudahan seperti alat pendingin udara juga perlu dipertingkatkan bagi
menjadikan penumpang berasa lebih selesa apabila menaiki pengangkutan tersebut.
Kemudahan-kemudahan sampingan seperti ini pasti akan dapat meningkatkan
bilangan penumpang pengangkutan awam kerana orang ramai boleh mendapatkan
perkhidmatan yang berkualiti dengan banyaran yang minimum. Manisfestasinya,
langkah memasang televisyen memang dapat menarik perhatian para penumpang untuk
menaiki pengangkutan awam.
(Isi 4) Bagi mengatasi masalah pekerja pengangkutan awam
yang kurang berdisiplin, sistem perakam
perlu dipasang di semua kenderaan awam di negara kita. Pemasangan alat perakam
ini dapat merakamkan bukan sahaja perkara yang berlaku di sepanjang perjalanan
malah dapat merakamkan kelajuan pengangkutan awam tersebut. Hal ini akan dapat
mengurangkan masalah kenderaan awam seperti bas yang dipandu terlalu laju
sehingga melebihi had yang dibenarkan. Pada masa yang sama, pemasangan alat ini
dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya bas yang sering diperkatakan
oleh orang ramai. Kerajaan juga perlu lebih kerap mengadakan pemeriksaan bagi
memastikan pemandu pengangkutan benar-benar mereka yang berkelayakan atau bebas
daripada sebarang penyalahgunaan dadah. Tindakan kerajaan menyenaraihitamkan
pemandu yang kurang berdisiplin akan dapat mengatasi masalah pekerja
pengangkutan awam yang tidak bersopan sekali gus melenyapkan pekerja yang tidak
berkualiti. Pemeriksaan oleh pihak berwajib seperti Jabatan Pengangkutan Jalan
atau pihak polis juga perlu menyeluruh bukan sahaja kepada kakitangan
pengangkutan awam tetapi perlu juga melihat pada keadaan dan keselamatan
pengangkutan awam yang digunakan bagi memastikan keselamatan pengguna
pengangkutan tersebut terjamin. Dengan cara itu, keyakinan orang ramai untuk
menggunakan pengangkutan awam di negara kita akan meningkat.
(Isi 5) Pihak pengurusan atau pengendali pengangkutan awam
juga perlulah lebih peka untuk menyediakan kemudahan hiliran bagi mereka yang
menggunakan perkhidmatan ini. Di kawasan stesen komuter atau LRT umpamanya,
tempat meletakkan kenderaan perlu ditambah bagi mengelakkan orang ramai meletak
kenderaan mereka di tepi-tepi jalan atau di tempat lain yang tidak sesuai. Hal
ini sentiasa menjadi rungutan orang ramai kerana bukan sahaja boleh
mengakibatkan kesesakan malah pada masa yang sama turut menjadi punca
berlakunya kemalangan jalan raya. Begitu juga halnya dengan pengangkutan
tambahan atau “bas fider” yang dikatakan menjadi masalah kepada pengguna
komuter dan LRT. Kekurangan pengangkutan bas tambahan ini telah menyukarkan
pengguna pengangkutan tersebut jika kawasan stesen tersebut jauh dari pejabat.
Justeru adalah penting sekiranya bas-bas tambahan ditambah bilangannya bagi
memudahkan dan mempercepat perjalanan seseorang dari rumah ke destinasi yang
dituju. Jarak atau lokasi pengangkutan awam seperti komuter dan LRT juga perlu
ditambah dari semasa ke semasa agar lingkungan pengguna yang dapat menaiki
kemudahan awam tersebut turut meningkat. Biarpun langkah ini memerlukan biaya
yang agak tinggi namun kesannya pada sistem perhubungan di negara kita adalah
amat besar. Oleh itu langkah-langkah menyediakan kemudahan tambahan bagi
meningkatkan kualiti pengangkutan awam tersebut perlu dilaksanakan agar
pengangkutan awam di negara kita tidak dianggap “indah khabar dari rupa”.
(Isi 6) Seperti kata peribahasa Melayu yang berbunyi
“melentur buluh biarlah dari rebungnya”, pendidikan sejak kecil juga merupakan
salah satu langkah untuk menggalakkan rakyat tempatan menaiki pengangkutan
awam. Pihak sekolah dicadangkan supaya memberi penerangan tentang
kebaikan-kebaikan menggunakan perkhidmatan awam dan keselamatan menggunakan
pengangkutan awam supaya dapat menanam konsep yang mendalam kepada fikiran
pelajar agar menaiki perkhidmatan awam. Usaha ini bukan sahaja perlu ditumpukan
kepada para pelajar, tetapi harus juga diperluas kepada mereka yang dewasa
untuk mengubah imej dalam hati mereka apabila menaiki pengangkutan awam.
Melalui pendidikan, kita dapat melahirkan golongan yang bergantung pada
perkhidmatan awam seperti kereta api dan bas sebagai pengangkutan utama
mereka.Hal ini dapat meningkatkan bilangan penumpang untuk menaiki pengangkutan
awam. Walaupun mereka memiliki kendera sendiri, tetapi mereka tetap akan
menggunakan perkhidmatan awam sebagai pengangkutan utama mereka jika konsep
kebaikan menggunakan pengangkutan awam tertanam dalam jiwa mereka.
(Penutup) Kesimpulannya, pengangkutan awam banyak membawa
kemaslahatan kepada masyarakat di negara kita seperti dapat mengurangkan
kesesakan dan kemalangan, mengurangkan pencemaran udara, menjimatkankan masa
malah mengurangkan kos kehidupan kita sehari-hari. Oleh itu, sebagai pengguna
jalan raya yang bijak, kita perlulah menyahut seruan kerajaan agar menggunakan
pengangkutan awam sebagai kaedah untuk bergerak dari satu destinasi ke satu
destinasi yang lain. Kita juga berharap agar dengan langkah-langkah yang telah
dan sedang dilaksanakan ini maka pengangkutan awam di negara kita akan menjadi
lebih maju setanding dengan pengangkutan awam di negara-negara lain seperti
Jepun, Amerika Syarikat dan Australia.
Sumber:http://bmspmnirmala.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment