Usaha kerajaan untuk menaiktaraf dan meningkatkan mutu
perkhidmatan awam wajar dipuji. Ini memandangkan ia bukan sahaja untuk
kemudahan dan kepentingan rakyat, tetapi juga
merupakan usaha ke arah mengurangkan kadar pencemaran hasil daripada
penggunaan bahan api fosil yang tinggi di dalam sektor pengangkutan di
Malaysia. Memang tidak dapat dinafikan
bahawa sejak zaman revolusi perindustrian pada abad ke-18 di Britain
sehinggalah ke hari ini, kita banyak bergantung kepada bahan api fosil bagi
menggerakkan pembangunan dan memacu pertumbuhan ekonomi dunia.
Namun demikian, kesan daripada penggunaan bahan api fosil
sejak berdekad lamanya telah pun kita rasai pada hari ini. Buktinya dampak
daripada penggunaan bahan api fosil yang berleluasa telah mengakibatkan berlakunya
fenomena pemanasan global yang akhirnya turut mempengaruhi perubahan iklim
dunia. Pernahkah kita terfikir, apakah yang bakal kita hadapi jika kita terus
berada pada tahap selesa dengan hanya bergantung kepada sumber bahan api fosil
semata-mata? Sedangkan sumber tersebut merupakan antara penyumbang
terbesar kepada masalah pencemaran yang
kita hadapi pada hari ini.
Sanggupkah kita untuk melihat nasib alam kita terus
diselubungi kesuraman dek kealpaan kita untuk mencari penyelesaian kepada
permasalahan ini? Sedangkan kita mempunyai pelbagai pilihan lebih baik yang
boleh menjadi penimbal kepada bahan api fosil yang kita gunakan pada hari ini.
Salah satunya ialah dengan pengaplikasian teknologi hijau secara menyeluruh dan
bersepadu dalam penjanaan sumber tenaga dan juga segala aktiviti seharian kita.
Cuma apa yang menjadi persoalannya ialah sejauh mana tahap
kesedaran masyarakat kita terhadap kepentingan teknologi hijau? Jika kita
amati, pada hari ini tahap kesedaran masyarakat terhadap teknologi hijau masih
lagi rendah dan belum mencapai tahap yang memuaskan. Buktinya dapat kita lihat
apabila masih banyak kilang-kilang yang mengeluarkan asap hitam yang
membahayakan. Begitu juga dengan penggunaan bahan bakar kenderaan bermotor yang
begitu membimbangkan kita. Malahan, pada hari ini kita juga menyaksikan alam
semulajadi kita dimusnahkan dengan sewenang-wenangnya, sungai-sungai dikotori
dan pelepasan karbon ke udara dilakukan secara berleluasa dan dalam kuantiti
yang besar.
Sedangkan kita sewajarnya menjadi anggota masyarakat yang
lebih bertanggungjawab dan peka terhadap alam sekeliling kita. Setiap aktiviti yang dilakukan seharusnya
difikirkan terlebih dahulu baik buruknya terhadap alam. Misalnya, penggunaan
kenderaan dan jentera yang menggunakan bahan api fosil (petrol dan diesel)
mengakibatkan pencemaran udara yang teruk. Malah, kesan pembakaran bahan api
fosil boleh menghasilkan gas-gas beracun seperti karbon monoksida, sulfur
dioksida, nitrogen oksida dan bahan-bahan pencemar lain.
Malah, jika kita meninjau di lokasi bandar-bandar besar yang
menjadi tumpuan seperti Kuala Lumpur dan Johor Bharu, paras bahan pencemar
daripada kenderaan pastinya lebih tinggi berbanding kawasan-kawasan yang kurang
menjadi tumpuan. Keadaan ini akan memberi kesan langsung kepada indeks kualiti
udara (kualiti udara akan menjadi bertambah buruk di lokasi-lokasi yang
mengalami kesesakan lalu lintas yang tinggi). Selain itu, keadaan lalu lintas
yang tidak diuruskan dengan baik juga akan mengakibatkan berlakunya pembaziran
sumber tenaga dan turut menjejaskan tahap kesihatan masyarakat yang menghirup
bahan pencemar ini secara langsung.
Justeru, usaha kerajaan bagi menaiktaraf sistem pengangkutan
awam di Malaysia merupakan satu langkah yang wajar dalam usaha memelihara
kelestarian alam sekitar. Ini memandangkan, daripada laporan perangkaan
Imbangan Tenaga Kebangsaan 2008, didapati bahawa penggunaan bahan api fosil
dalam sektor pengangkutan di Malaysia telah meningkat sebanyak 35.8% antara
tahun 2000 hingga tahun 2008. Peratusan ini pastinya akan terus meningkat jika
tiada langkah sewajarnya diambil bagi mengurangkan penggunaannya.
Menyedari hakikat bahawa ia hanya dapat dielakkan sekiranya
terdapat perkembangan yang memberangsangkan dalam sektor pengangkutan awam,
maka kerajaan telah berusaha untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan
pengangkutan awam bagi mengurangkan peratusan itu. Malah, pembangunan yang
berterusan dalam sektor pengangkutan awam juga dapat menampung permintaan yang
semakin meningkat ke atas perkhidmatan tersebut.
Oleh yang demikian, usaha mengurangkan pencemaran menerusi
pembangunan pengangkutan awam yang efektif pastinya akan memberi impak positif
kepada negara. Misalnya, ia bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa, malah turut
menyelamatkan alam sekitar dan memberi manfaat ekonomi kepada negara. Selain
itu, sekiranya kita mempunyai sistem pengangkutan yang efektif dan sempurna,
kita juga akan mampu mengurangkan pembaziran tenaga dan kadar pencemaran alam
sekitar.
Bahkan pembaziran tenaga dan kadar pencemaran akan berjaya
diminimumkan jika lebih ramai yang menyokong dan menggunakan perkhidmatan awam.
Namun persoalannya sanggupkah masyarakat menggunakan perkhidmatan awam untuk
bergerak dari satu destinasi ke destinasi yang lain setiap hari? Pastinya ia
agak berat untuk disahut memandangkan rata-rata kita lebih selesa menaiki
kenderaan sendiri.
Sedangkan kesediaan dan kerjasama masyarakat adalah perlu
bagi menjayakan matlamat ini. Sekiranya perancangan ini gagal, bukan sahaja
wang rakyat lebur, tetapi sumber tenaga juga turut dibazirkan. Oleh yang
demikian, sebagai rakyat yang prihatin terhadap masa depan alam sekitar, kita
harus sepakat dan menyambut baik usaha murni kerajaan membangunkan sistem
pengangkutan awam yang cekap.
Mudah-mudahan dengan sokongan padu semua pihak terhadap
projek MRT yang dibangunkan oleh kerajaan, ia akan membuahkan hasil yang
positif baik terhadap kebajikan rakyat mahupun alam sekitar seluruhnya. Malah,
jika perancangan ini berjaya mencapai matlamatnya, bukan sahaja alam sekitar
dapat dipulihara, sebaliknya kesejahteraan hidup kita juga akan turut terjamin.
Selain itu, satu sistem pengurusan sumber yang berkesan juga
perlu dilaksanakan secara lebih serius dan
bersepadu bagi menjamin bekalan tenaga dan penggunaan yang berterusan
untuk kegunaan manusia pada masa hadapan. Bahkan, bagi mengelakkan bumi kita
terus diancam bahang panas, penggunaan sumber tenaga alternatif daripada
sumber-sumber boleh diperbaharui (renewable energy) dan mesra alam adalah digalakkan.
Ini kerana, dengan pengaplikasian teknologi hijau secara menyeluruh akan dapat
membantu memulihara alam sekitar ke tahap yang maksimum.
Malah, kita seharusnya menyedari bahawa bumi kita tidak lagi
mampu menanggung beban penggunaan kurang mapan dan pembaziran tenaga yang
dilakukan oleh manusia. Justeru, bagi mengatasi masalah ini, guna tenaga secara
cekap dalam semua aktiviti adalah penting agar permasalahan yang melanda alam
sekitar dapat dikurangkan. Selain itu, kesedaran masyarakat dalam menghayati
budaya teknologi hijau dan melibatkan diri dalam menjayakan program-program
teknologi hijau yang telah dilaksanakan oleh kerajaan juga penting agar masalah
berhubung isu tenaga dapat diatasi sehingga ke akar umbi.
Sumber:http://www.ikim.gov.my/
No comments:
Post a Comment