Kelemahan
Perkhidmatan Pengangkutan Awam dan Cadangan untuk Mengatasinya
Pengangkutan awam penting dalam kehidupan manusia. Perkhidmatan pengangkutan awam yang baik
membolehkan pengguna bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain dengan mudah
dan selesa. Di negara ini, terdapat
beberapa jenis pengangkutan awam. Antara
perkhidmatan pengangkutan awam yang popular ialah perkhidmatan bas dan teksi. Sehingga kini, perkhidmatan pengangkutan awam
di Malaysia dikatakan masih belum memuaskan hati pengguna. Baru-baru ini, saya sebagai Setiausaha
Persatuan Keselamatan Sosial Daerah Pekan diminta untuk menjalankan satu kajian
tentang kelemahan tersebut dan seterusnya mengemukakan cadangan untuk
mengatasinya. Yang berikut ialah laporan
hasil kajian tersebut.
Berdasarkan
kajian, didapati bahawa jumlah kenderaan awam di beberapa buah bandar di negara
ini tidak mencukupi. Di beberapa buah
bandar kecil, hanya terdapat satu atau dua buah syarikat bas yang
beroperasi. Jangka masa pergerakan
antara sebuah bas dengan bas yang lain agak panjang disebabkan masalah
kekurangan bas. Keadaan ini menyebabkan
pengguna sering berebut-rebut untuk menaiki bas agar mereka tidak ketinggalan. Sesetengah penumpang teksi pula sanggup
menaiki teksi melebihi muatan yang dibenarkan agar mereka cepat sampai ke
destinasi. Selain tidak selesa, tindakan
ini boleh membahayakan penumpang.
Keadaan fizikal
sesetengah kenderaan awam, khususnya bas dan teksi didapati kurang
sempurna. Sesetengah kenderaan tersebut
tidak terurus dan tidak diselenggara dengan baik. Kusyen beberapa buah bas pula didapati carik
dan sesetengahnya tertulis dengan pelbagai tulisan yang berunsur lucah. Kebersihan kebanyakan kenderaan tidak dijaga
dengan baik. Sistem pendingin hawa yang
digunakan pula kadangkala tidak berfungsi.
Keadaan ini menyebabkan pengguna berasa tidak selesa menggunakan
pengangkutan awam.
Kajian juga
mendapati bahawa kebanyakan pengguna perkhidmatan awam yang ditemui menyuarakan
rasa tidak puas hati mereka tentang kadar tambang yang dikenakan. Kebanyakan
pengguna bersetuju bahawa kadar tambang tidak sepadan dengan kualiti
perkhidmatan. Menurut pengguna,
sesetengah pemandu teksi tidak menggunakan meter yang dipasang dengan alasan
alat tersebut rosak. Segelintir
kakitangan bas pula didapati kurang sopan apabila berurusan dengan
penumpang. Walaupun perkara ini tidak
disenangi, namun pengguna terpaksa menggunakan perkhidmatan awam kerana tiada
pilihan lain.
Jabatan
Pengangkutan Jalan hendaklah memperketat penguatkuasaan undang-undang tentang
usia kenderaan awam di jalan raya.
Kenderaan yang terlalu lama misalnya, yang melebihi usia 20 tahun
haruslah ditamatkan permitnya.
Pengusahanya boleh diberikan bantuan kewangan untuk menggantikannya
dengan kenderaan yang baharu. Bantuan
yang sama hendaklah diberikan kepada pemilik kenderaan awam yang kenderaan
awamnya didapati kurang elok. Selain
menjaga keselamatan pengguna, langkah ini penting untuk memberikan keselesaan
kepada pengguna perkhidmatan tersebut.
Bagi mengatasi
masalah kekurangan kenderaan awam, pihak kerajaan seharusnya menambahkan
pengeluaran permit kenderaan awam di negara ini. Hal ini bertujuan untuk membolehkan lebih
banyak kenderaan awam beroperasi.
Langkah ini penting untuk mengelakkan orang ramai berebut-rebut untuk
menaiki kenderaan, terutamanya ketika menjelang musim perayaan. Pertambahan pemilik kenderaan awam juga
penting untuk mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan pengusaha. Impaknya, pengguna dapat membuat pilihan dan
masalah kekurangan kenderaan dapat dikurangkan.
Kajian ini telah
mengenal pasti beberapa kelemahan perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.
Selain kekurangan jumlah kenderaan awam, sikap pengusaha yang terlalu
mementingkan keuntungan memungkinkan kenderaan awam tidak terjaga. Kelemahan
tersebut dapat diatasi sekiranya pengusaha kenderaan awam memahami bahawa
mereka sebenarnya turut melaksanakan tanggungjawab sosial. Sekiranya syarikat kenderaan awam di negara
ini dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih berkualiti, orang ramai juga akan
berasa selesa menggunakan perkhidmatan awam yang disediakan.
No comments:
Post a Comment