Sunday, May 31, 2015

AKHBAR

Setiap pagi Nazirul Akhmar, 23, akan menghabiskan masa kira-kira 90 minit untuk ke tempat kerjanya di KL Sentral dari stesen tren komuter Rawang, sebuah pekan di luar Kuala Lumpur.

Dia menunggu seawal 6.30 pagi di tren komuter Rawang dan jika kelewatan, dia terpaksa membazir sehingga 30 minit ke satu jam sebelum tren tiba atau mencari kenderaan lain untuk ke tempat kerjanya.

Pemuda berusia 23 tahun ini tidak mampu membeli kereta, oleh itu kenderaan awam satu-satunya pilihan beliau. Tetapi jika mempunyai kereta pun, perjalanan mungkin akan memakan masa 30 hingga 40 minit jika tidak ada trafik jam.



Seperti Nazrul, rakyat Malaysia lain juga menghadapi masalah yang sama. Kerajaan berkata sedang menyelesaikannya tetapi akibat kelemahan perancangan, sehingga kini ia kekal bermasalah.
Kementerian Pengangkutan nampaknya mengukur kejayaan untuk menyelesaikan masalah pengangkutan di Lembah Klang dengan peningkatan kenderaan pengangkutan awam, dengan mensasarkan 750,000 tahun depan.

Pada 2010, seramai 238,313 pengguna kenderaan awam menggunakan sistem pengangkutan bandar dan 411,000 mengggunakannya pada Oktober 2012.

Peningkatan ini dinyatakan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam pengangkutan awam bandar yang merupakan sebahagian daripada Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Syarikat Prasarana Negara Berhad juga sedar tentang peningkatan pengguna pengangkutan awam, khasnya di Lembah Klang.

Pengurus kanan komunikasi dan hal ehwal medianya, Azhar Ghazali berkata bilangan penumpang harian bas RapidKL adalah kira-kira 300,000, diikuti LRT Ampang (180,000) dan aliran LRT Kelana Jaya (230,000).

Namun ketepatan masa dan frekuensi perkhidmatan masih menjadi masalah utama yang menyebalkan, dan Nazirul menyifatkan ianya sebagai "mengikut nasib".

"Memang biasanya ada penundaan komuter, selalunya waktu menunggu mengambil masa 20 minit menyebabkan kita terpaksa tunggu lama dan kadang-kadang sampai setengah jam, sebab itu saya biarpun kerja mula jam 10 pagi tetapi saya tetap keluar awal," kata Nazirul.

Bagi Nazirul, pembaikan sangat diperlukan kerana semakin ramai golongan pekerja yang menggunakan pengangkutan awam kerana mereka yakin ia boleh menjimatkan kos.

"RM10 sehari sebenarnya agak banyak, tetapi kalau dibandingkan saya menaiki motor, komuter ini jimat sikit sebab sekarang ini minyak sudah mahal, naik motor pun terasa," katanya.

Tambahnya lagi, tambang komuter tidak boleh dikatakannya terlalu murah, kerana setiap hari Nazirul memperuntukkan RM10 bagi tambang pergi balik.

Katanya, pengguna yang menaiki pengangkutan awam terdiri daripada golongan tengah atau berpendapatan rendah di mana tambang yang ada sekarang ini dilihat agak tinggi.

"Seperti saya kata, naik pengangkutan awam tidaklah terlalu murah, namun ia lebih baik sedikit daripada naik kereta atau motor.

"Sebab itu saya kata pengguna pengangkutan awam ini terdiri daripada golongan tengah atau pendapatan rendah kerana sejak pengumuman minyak naik, ia turut menyaksikan pertambahan pengguna.

"Makin ramai naik, kalau tidak silap saya dalam sekali ganda penambahan, kerana bagi kami pengangkutan awam ini bukan dilihat sebagai alternatif kepada kesesakan jalan, namun sebagai penjimatan untuk 'poket' kami," katanya.

Maizathul Akmal, 26 yang menggunakan perkhidmatan bas dari rumahnya untuk ke stesen LRT Taman Melati berkata menaiki pengangkutan awam bukan merupakan satu perjalanan yang menyenangkan.

"Banyak kelemahan bas ini, seperti tidak ada sistem. Begitu juga pemandu bas, mereka tidak ikut jadual, lambat dan kadang-kadang tidak ikut laluan.

"Bagi saya, naik bas ini ikut nasib, ada hari baik ada hari tidak, tetapi selalunya tidaklah," katanya.

Justeru itu, katanya penyelesaian perlu dilakukan bagi menjadikan operasi bas lebih cekap dan efektif.

"Kerajaan perlu faham semakin ramai yang menggunakan pengangkutan awam ini," katanya.

Wakil Prasarana, Azhar Ghazali memberitahu The Malaysian Insider, pihaknya kini merancang pelbagai langkah menyelesaikan isu tersebut.

"Kami kekurangan kira-kira 500 pemandu bas dan ini menjejaskan operasi kami," katanya.

Selain itu, Prasarana juga bakal menambahbaik beberapa infrastruktur sistem pengangkutan lain seperti monorel dan LRT, terutamanyaa di kawasan pusat tumpuan orang ramai.

Seorang lagi pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Silvia, 33, berkata sistem Transit Aliran Ringan (LRT) banyak menyaksikan pembaikan sejak dahulu dan ia lebih cepat dan mudah berbanding menggunakan kereta.

"Cuma sekarang ini terlalu sesak bila waktu puncak terlalu ramai orang, terutama apabila kerajaan umumkan harga minyak naik lagi, maka lebih ramai memilih perkhidmatan awam, saya rasa itu yang mereka perlu selesaikan, tambahlah tren atau gerabak," katanya.

Pada masa ini, salah satu projek pengangkutan awam bandar yang paling dinantikan adalah sistem rel Mass Rapid Transit (MRT) yang bernilai bilion ringgit, projek infrastruktur terbesar negara yang akan menyambung landasan LRT dan akan memasuki kawasan baru.


Terdapat juga rancangan untuk membina kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan ibu negeri di Malaysia dan Singapura yang akan siap pada tahun 2020. – 23 Disember ,2014.
Sumber:http://www.themalaysianinsider.com/

No comments:

Post a Comment