KUALA LUMPUR - Prasarana Malaysia Bhd berkata sasaran
penggunaan pengangkutan awam sebanyak 40 peratus menjelang 2030 yang ditetapkan
oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) boleh dicapai memandangkan
projek ke arah integrasi dan penambahbaikan kecekapan sistem pengangkutan awam
berjalan lancar.
Pengarah Urusannya Azmi Abdul Aziz berkata penggunaan urban
di Lembah Klang akan mencapai 25 peratus hujung tahun ini, berbanding 20
peratus tahun lepas dengan sistem pengangkutan awam dijangka terus bertambah
baik berikutan lebih banyak perkhidmatan diadakan.
"Semua perancangan pembangunan dan projek sedang
berlangsung berkaitan keperluan pengangkutan awam berjalan dengan baik.
"Prasarana sedang mempertingkatkan usaha untuk menutup jurang
bagi mencapai penggunaan pengangkutan awam 40 peratus dengan inisiatif
terbaharu seperti memperkenalkan Bus Rapid Transit (BRT) dan projek lanjutan
laluan aliran transit ringan (LRT) serta banyak lagi yang akan dibuat,"
kata Azmi kepada Bernama.
Sasaran penggunaan pengangkutan awam 40 peratus di kawasan
urban itu ditetapkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu)
dan SPAD menerusi satu pelan induk dengan Prasarana sebagai pelaksana, katanya.
Azmi berkata pelan induk itu menyediakan saluran untuk
mengintegrasikan semua perancangan berkaitan keperluan pengangkutan awam di
Malaysia.
"Ia adalah panduan untuk semua inisiatif pengangkutan
awam darat oleh pelbagai pihak berkuasa dan agensi di seluruh Malaysia,"
katanya.
Azmi berkata Malaysia menyaksikan penambahbaikan dalam
jaringan dan perkhidmatan pengangkutan yang mempertingkat perhubungan dalam
kawasan bandar menerusi perkhidmatan LRT, monorel, Keretapi Tanah Melayu (KTM)
dan bas henti-henti.
Beliau berkata permintaan terhadap perjalanan menggunakan
kenderaan tumbuh daripada 13 juta perjalanan sehari pada 1991 kepada 40 juta
pada 2010, dan dijangka mencapai 133 juta pada 2030.
Perbandaran dijangka mencapai 75 peratus menjelang 2020 dan
adalah amat penting untuk menyediakan sistem yang boleh diharap jika mahu
menjadikan pengangkutan awam pilihan pengguna, katanya.
Beliau berkata wujud keperluan untuk memastikan aliran
perjalanan yang cekap dan lancar, sekali gus membolehkan pertumbuhan kawasan
bandar baharu menerusi peningkatan perhubungan.
"Projek seperti perluasan laluan LRT, MRT dan lebih
banyak BRT serta cadangan LRT3 akan menyokong sasaran 40 peratus penggunaan
pengangkutan awam menjelang 2030," katanya. -Bernama
Sumber:http://www.sinarharian.com.my/
No comments:
Post a Comment