Tuesday, June 2, 2015

AKHBAR KEMALANGAN JALAN RAYA

KANGAR 26 Mac — Dua pelajar terbunuh dalam kemalangan jalan raya apabila motosikal yang ditunggangi mereka dipercayai dirempuh kenderaan lain berhampiran simpang jalan Kampung Rama, Sanglang, dekat sini, malam tadi.

Pegawai Turus Trafik Perlis, Asisten Supritendan Rosli Yahaya berkata, dalam kejadian kira-kira 9.20 malam, pembonceng motosikal itu, Mohd. Shawal Shahabudin, 15, mati di tempat kejadian manakala penunggang, Mohd. Hafizi Kassim, 17, meninggal dunia selepas tiga jam dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Beliau berkata, kejadian berlaku semasa kedua rakan karib itu yang sedang menghala ke Simpang Empat, dipercayai dilanggar kenderaan lain dari arah belakang.

Bagaimanapun, polis masih belum mengenal pasti kenderaan terbabit.

Rosli yang mengklasifikasikan kes itu sebagai langgar lari berkata, ketika kejadian kawasan berkenaan gelap tambahan pula ketika itu hujan lebat mengehadkan jarak penglihatan penunggang motosikal serta pemandu kenderaan.

Menurut Rosli, Mohd. Shawal patah tulang pinggul, manakala Mohd. Hafizi patah tangan kiri dan cedera parah di kepala.

Mayat kedua-dua mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sanglang dituntut keluarga masing-masing di HTF sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sanglang, dekat sini hari ini.

Rosli meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Azly Supuandi di talian 04-9781079.


Beliau juga berharap pemandu kenderaan yang terbabit dalam kejadian itu untuk membuat laporan di balai polis berhampiran. — BERNAMA
Sumber:http://kemalangandijalanraya.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment