Pada 22 Ogos yang
lalu negara kita dikejutkan dengan berita kemalangan jalan raya yang melibatkan
sebuah bas awam dalam perjalanan dari Genting Hinglands menuju ke pusat bandar
raya. Dalam kemalangan maut berkenaan, 37 orang penumpang maut, manakala 16
orang yang lain cedera parah apabila bas berkenaan jatuh ke dalam gaung sedalam
60 meter. Antara punca yang menjadi polemik perbualan sosial termasuklah
kecuaian pemandu, keadaan permukaan jalan dan sifat fizikal bas berkenaan yang
dikatakan uzur. Walaupun dikatakan malang tidak berbau, kita masih boleh
mengambil beberapa langkah yang proaktif dalam memastikan angka kemalangan maut
tidak terus meningkat.
Langkah utama
dalam mengurangkan angka kemalangan jalan raya sudah pastilah dengan mendidik
para pemandu khususnya pemandu pengangkutan awam supaya lebih berdisiplin
ketika memandu. Peratusan tinggi kemalangan dikatakan berpunca daripada sikap
pemandu itu sendiri yang dikatakan cuai ketika berada di atas jalan raya.
Sebagai contohnya, banyak pemandu yang masih menggunakan telefon bimbit ketika
memandu yang secara tidak langsung menyebabkan mereka kehilangan fokus. Oleh
itu, kesedaran tentang kepentingan mengikut peraturan jalan raya perlu hadir
dari dalam diri kerana tanpa kesedaran dalam diri, peraturan yang digubal
umpama tidak bermakna.
Kemalangan jalan raya juga dapat dielakkan melalui
pendidikan di sekolah. Sejajar dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari
rebungnya, begitulah juga halnya dalam usaha untuk mendidik pemandu agar lebih
berdisiplin ketika berada di atas jalan raya. Pihak kerajaan melalui
Kementerian Pendidikan Malaysia sememangnya maklum akan hal ini dan telahpun
memasukkan silibus keselamatan jalan raya dalam pendidikan di sekolah. Secara
tidak langsung, anak-anak yang belajar di sekolah boleh mendapat pendidikan
secara langsung tentang peraturan dan isu-isu keselamatan ketika berada di
jalan raya.
Langkah lain yang boleh diambil pula ialah dengan
membaiki keadaan jalan raya di negara kita. Jalan raya yang tidak diselenggara
dengan baik sudah pasti mendatangkan bahaya kepada para pemandu dan juga
penunggang motosikal. Bukan itu sahaja, keadaan jalan raya yang gelap tanpa
sinaran cahaya lampu juga boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya
terutamanya pada waktu malam. Sebagai misalannya, kereta yang dipandu laju di
lebuh raya akan serta merta mengelak jalan yang berlubang tanpa melihat cermin
pandang sisi. Keadaan ini memungkinkan kemalangan berlaku jika kenderaan di
belakang mengikut terlalu dekat. Perkara sebeginilah yang perlu dielakkan dalam
usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
Pihak-pihak
berkuasa juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha mengurangkan
kadar kemalangan jalan raya di negara kita. Jabatan Pengangkutan
Jalan (JPJ), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat
Malaysia (SPAD) mahupun organisasi berkaitan yang lain perlu berganding bahu
dalam mengurangkan kes kemalangan jalan raya ini. Sekatan-sekatan jalan raya
serta rondaan secara berkala mampu mengurangkan risiko kemalangan atau paling
tidak mendisiplinkan pemandu ketika berada di jalan raya. Namun demikian,
pemantauan yang dibuat perlulah secara berterusan dan bukannya mengikut musim
kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.
Langkah terakhir dalam menangani isu yang kian
membarah ini sudah tentulah melalui penganjuran kempen-kempen kesedaran dalam
hal yang berkaitan keselamatan jalan raya. Pihak swasta dalam hal ini juga
boleh menjalankan tanggungjawab sosial mereka dalam menyampaikan kempen-kempen
tersebut melalui media massa seperti televisyen, radio, akhbar mahupun
Internet. Kempen-kempen yang dijalankan ini perlulah dibuat secara berterusan
dan bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam ataupun melepaskan batok di
tangga. Secara tidak langsung masyarakat akan tahu pihak kerajaan mahupun
penganjur kempen ini bersungguh-sungguh dalam usaha mengurangkan kecelakaan
jalan raya.
Sebagai penutup
bicara, banyak langkah yang boleh diambil oleh individu, masyarakat mahupun
negara dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Semua pihak ini perlulah
berganding bahu bagai aur dengan tebing supaya setiap langkah yang diambil
mendatangkan kesan yang positif. Jika segala langkah telah diambil dan
dijalankan dengan sewajarnya, tidak mustahil kita dapat melihat negara yang
dicintai ini berkembang menuju ke arah status negara maju setanding dengan
negara-negara maju yang lain. Kadar kemalangan jalan raya yang berkurang juga
boleh menggalakkan pelaburan asing ke negara kita yang secara tidak langsung
dapat meningkatkan ekonomi negara.
Sumber: http://bmssbj.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment