Thursday, June 11, 2015

DBKL KOMITED ATASI MASALAH KESESAKAN LALU LINTAS

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Bila agaknya jawapan kepada soalan 'kenapa lambat?' tidak akan lagi dikaitkan dengan kesesakan lalu lintas oleh mereka yang bekerja di ibu kota.

Sehingga bila lagi petugas ke pejabat akan dapat tiba awal dalam keadaan relaks dan ceria. Kalau pun ada ialah semasa mereka bekerja pada musim cuti panjang perayaan atau cuti sekolah.

Taraf hidup yang semakin meningkat dan jumlah kenderaan bertambah dengan banyaknya di atas jalan raya adalah faktor penyumbang kepada kesesakan yang sedia ada.

Kemudahan pengangkutan awam juga cuba dipertingkat tetapi penggunaannya masih perlu dioptimum kerana ketika ini hanya 19 peratus yang mengisi ruang-ruang pengangkutan awam di ibu kota.

MENGOPTIMUM KEMUDAHAN PENGANGKUTAN AWAM

Bagi pihak kerajaan kecekapan pengangkutan awam memang diberi perhatian serius dalam usaha mensejahterakan kehidupan warga kota.

Ini termasuk penambahbaikan secara komprehensif dan memperkasa perkhidmatan bas, perkhidmatan rel yang merangkumi sambungan jajaran monorel serta Aliran Transit Ringan (LRT), integrasi antara mod pengangkutan awam dan rangkaian pengangkutan awam itu sendiri.

Kerajaan juga, dalam proses melaksanakan projek Aliran Transit Massa (MRT) yang dijangka menjadi antara alternatif menyelesai kerumitan kesesakan lalu lintas di ibu kota.

Fasa pertama projek itu yang membabitkan Laluan 1 Sungai Buloh-Kajang, dijangka siap mengikut jadual pada akhir tahun 2016 dan melibatkan kos pembinaan tidak melebihi RM23 bilion.

Biarpun pelbagai kaedah dilakukan dalam menggalakkan minat warga kota menjadikan pengangkutan awam sebagai rutin kenderaan harian mereka, namun ia tidaklah sekadar dirangkumkan kepada faktor pertambahan dan penambahbaikan sistem dan kualiti pengangkutan awam sahaja.

Penumpuan juga harus diberi terhadap kriteria kelulusan projek pembangunan bagi mengelak keterlaluan tumpuan terhadap rangkaian trafik di ibu kota.

Inilah yang dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku pihak berkuasa tempatan yang mentadbir Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk memikul tanggungjawab menjayakan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020.

Dalam pelan ini, disasarkan pada tahun 2020 nisbah pisah ragam di antara pengguna pengangkutan awam dengan pengangkutan persendirian ialah 40-60.

KAWALAN PERANCANGAN PEMBANGUNAN

Antara inisiatif yang digaris dalam merealisasi matlamat penganjakan peraturan penggunaan pengangkutan awam lebih tinggi dan kawalan perancangan pembangunan yang berorientasikan sistem rel akan diberi perhatian.

Ini mengorak kepada peranan DBKL dalam memberi kelulusan kepada mana-mana projek pembinaan pembangunan.

"Kami memberi kelulusan perancangan pembangunan dengan melihat kepada kedudukan dan tataletak bangunan itu. Umpamanya, sekarang ini kita mempunyai kawasan yang direntasi oleh kemudahan LRT dan monorel.

"Kawasan-kawasan ini akan kami beri tumpuan. Kawalan pembangunan akan tertumpu kepada pembangunan di sekitar koridor rel," kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Phesal Talib kepada Bernama.

Tambah beliau, penumpuan pembangunan yang berpusat atau bertunjang kepada kawasan koridor rel akan menggalakkan warga kota memilih pengangkutan awam untuk bergerak ke mana-mana tempat.

Selain itu, konsep 'Park 'n Ride' juga dilaksanakan dengan tujuan memudahkan orang ramai meletakkan kenderaan di kawasan tertentu dan menggunakan sistem pengangkutan rel atau bas untuk masuk ke pusat bandar.

Setakat ini, dua projek diberi kelulusan untuk pelaksanaannya iaitu di Sungai Besi dan Bandar Tasik Selatan.

Projek Park 'n Ride di Stesen LRT Sungai Besi telah siap dan dirasmikan baru-baru ini oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Menerapkan elemen mesra pengguna bagi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), kemudahan setinggi tiga tingkat itu di Stesen LRT Sungai Besi juga dilengkapi 220 petak parkir, lif, kamera litar tertutup, tandas, gerai makan dan laluan pejalan kaki yang menghubungkannya dengan Stesen LRT Sungai Besi.

SISTEM PANDUAN TEMPAT LETAK KERETA

Dalam pada itu, kesesakan lalu lintas tidak sekadar difokuskan kepada faktor penjanaan kenderaan keluar masuk ke pusat ibu kota, malahan ia berpunca daripada kelambatan pemanduan semasa mencari lot tempat letak kereta.

Menyedari permasalahan itu, DBKL dalam proses merangka sistem maklumat, paparan elektronik yang akan dipasang di sekitar bandar raya ini bagi membekalkan informasi kepada orang awam berhubung lot tempat letak kereta berdekatan yang masih kosong.

Ini akan memudahkan pemanduan, sekali gus membantu mereka merancang perjalanan dengan lebih lancar sekiranya lokasi atau lot tempat letak kereta yang dituju sudah dipenuhi.

"(Selain itu) sistem tempat letak kereta ini akan memudahkan kami menyelaras laluan bas. Jadi, apabila mereka meletak kenderaan, mereka juga boleh menggunakan bas, contohnya perkhidmatan bas Go KL City untuk ke lokasi sekitar laluan bas berkenaan," katanya.

Ketika ditanya mengenai konsep 'Dibenarkan Membelok Kiri di Kuala Lumpur' atau 'Authorised Left Turn' yang dilancarkan tahun lepas, Ahmad Phesal berkata perlaksanaannya memberi kesan positif dalam melancarkan perjalanan trafik.

Justeru, DBKL akan menambah bilangan di persimpangan lain dan dijangka lapan lagi persimpangan akan dimasukkan di bawah konsep tersebut.

Konsep ini adalah antara kaedah pengurusan lalu lintas bertujuan meningkatkan kapasiti sesebuah persimpangan jalan khususnya di jalan-jalan utama.

Setakat ini, hanya enam lokasi perlaksanaan konsep itu, iaitu di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman ke Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja ke Jalan Parlimen, Jalan Raja Abdullah ke Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang ke Jalan Sultan Ismail, Jalan Semarak ke Jalan Tun Razak dan Jalan Raja Muda Musa Abdul Aziz ke Jalan Tuanku Abdul Rahman.

PUSAT-PUSAT PERTUMBUHAN BAHARU

Dalam strategi perancangan DBKL, pusat-pusat pertumbuhan baharu yang terdiri daripada Pusat Pertumbuhan Daerah, Pusat Pertumbuhan Kejiranan dan Pusat Pertumbuhan Tempatan diwujudkan bagi tujuan mengurangkan tekanan tinggi atau kesesakan melampau kepada rangkaian jalan raya di pusat bandar.

Melalui inisiatif ini, pusat membeli-belah, bank-bank, institusi pendidikan dan pusat perubatan diwujudkan di kawasan pertumbuhan baharu di luar pusat perniagaan daerah.

"Sebagaimana yang ditetapkan dalam perancangan, usaha kami ialah bagi mewujudkan pusat kejiranan ini sebagai langkah mengurang semua urusan daripada tertumpu terus ke pusat bandar.

"Apabila ada pusat kejiranan ini membolehkan orang ramai tidak perlu lagi datang ke bandar dan inilah satu daripada perkara yang akan kami beri tumpuan," kata Ahmad Phesal.

Kawalan perancangan pembangunan yang berorientasikan pengangkutan awam, kewujudan kawasan-kawasan pertumbuhan baharu, konsep Park 'n Ride dan sistem panduan tempat letak kereta ini adalah antara inisiatif mahupun strategi yang diusahakan DBKL bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibu kota.

Sememangnya, pelbagai langkah diambil oleh pihak berkuasa tempatan dalam menjayakan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 yang menyasarkan supaya penggunaan pengangkutan awam meningkat sehingga 40 peratus.

"Saya rasa ini adalah antara langkah wajar untuk dilaksanakan selain usaha kerajaan persekutuan mempercepatkan lagi pelaksanaan projek MRT," katanya.


--BERNAMA
Sumber:http://kpdnkk.bernama.com/

No comments:

Post a Comment