“Adalah menjadi
harapan saya agar rakyat Malaysia akan sentiasa beringat dan berwaspada semasa
dalam perjalanan pulang ke kampung halaman. Bersama-sama kita jadikan jalan
raya kita jalan yang selamat”.
Demikianlah
sedutan ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib
Tun Razak ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama anak yatim di
Putrajaya baru-baru ini. Peribahasa alah bisa tegal biasa kini telah menjadi
sinonim dengan masyarakat Malaysia memandangkan saban hari rakyat Malaysia
disajikan dengan berita-berita kemalangan jalan raya yang menyayatkan hati sama
ada di dada akhbar mahupun di kaca televisyen. Walaupun OPS Sikap XIII sempena
Aidilfitri baru-baru ini berjaya mengurangkan kes kemalangan maut daripada 213
kes kepada 203 kes, namun statistik masih menunjukkan bahawa kemalangan
keseluruhan pada tahun ini meningkat sebanyak lima peratus berbanding tahun
lalu. Persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan
jalan raya walaupun pelbagai pihak telah memainkan peranan mereka dalam
mengurangkan kadar kemalangan jalan raya?
Mengikut kajian
yang dijalankan oleh Universiti Teknologi Mara (UTM), sikap pemandu ketika
berada di jalan raya merupakan faktor dominan berlakunya kemalangan jalan raya.
Memang tidak dapat dinafikan, pemandu marcapada ini memandang enteng terhadap
peraturan-peraturan jalan raya yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa..
Buktinya, ramai pemandu yang tidak mematuhi ‘speed limit’ terutamanya ketika
memandu di lebuh raya sehingga menyebabkan mereka gagal mengawal kenderaan
apabila cuba membelok ke kanan atau ke kiri di selekoh-selekoh jalan. Di sisi
itu, risiko untuk seseorang mengalami kecelakaan jalan raya adalah lebih tinggi
bagi mereka yang memandu dalam keadaan mengantuk atau pun mabuk. Hal ini
demikian kerana pemandu yang memandu kenderaan ketika mengantuk akan hilang
konsentrasi semasa memandu dan secara tidak langsung menyebabkan kenderaan
dikawal secara ‘auto-pilot’ yang akhirnya membawa kepada kemalangan jalan raya.
Selain itu, sikap sesetengah pemandu yang leka berbual-bual dengan rakan
sebelah serta mengggunakan telefon bimbit ketika memandu turut menyebabkan
kemalangan. Pernyataan ini diperkuatkan lagi apabila statistik menunjukkan
bahawa 94 peratus pengguna jalan raya terlibat dalam kemalangan jalan raya
berpunca daripada sikap acuh tak acuh mereka ketika berada di jalan raya.
Pendek kata, kecuaian pemandu ketika di jalan raya merupakan penyumbang utama
kemalangan jalan raya.
Bak kata pepatah
Melayu, kalau tidak ada angin, masakan pokok bergoyang kerana setiap perkara
yang berlaku pasti ada sebabnya. Selain daripada faktor manusia, keadaan
fizikal jalan raya yang tidak memuaskan turut membawa kepada kemalangan jalan
raya. Di samping struktur jalan yang berlekak-lekuk serta mempunyai permukaan
yang tidak rata, infrastruktur jalan yang turut gagal berfungsi juga boleh
membahayakan pengguna jalan raya khususnya bagi mereka yang memandu pada waktu
malam. Seperti yang kita ketahui, rakyat Malaysia gemar memulakan perjalanan
mereka pada waktu malam khususnya pada musim perayaan bagi mengelakkan masalah
kesesakan lalu lintas. Namun, ketiadaan lampu jalan di sepanjang jalan raya
menyebabkan keadaan sekeliling menjadi gelap dan seterusnya membataskan
penglihatan para pemandu terhadap objek di hadapan mereka. Kondisi sebegini
bukan sahaja mengganggu tumpuan pemandu malah secara tidak langsung menyebabkan
pemandu tidak sedar akan posisi sebenar kenderaan mereka. Tambahan pula,
ketiadaan penghadang jalan raya terutamanya di kawasan-kawasan yang tinggi
seperti Genting Highlands meningkatkan lagi risiko untuk sesebuah kenderaan
terbabas jatuh ke dalam lembah yang curam. Oleh itu, jelaslah bahawa kemalangan
jalan raya turut berlaku apabila prasarana jalan raya berada dalam keadaan yang
kurang memuaskan.
Melihat dari
perspektif yang berbeza, aktiviti lumba haram yang semakin menjadi-jadi juga
sering menyebabkan kemalangan maut terutamanya dalam kalangan pelesit-pelesit
rempit. Tanpa mengira keadaan trafik, para pelumba motosikal haram ini akan
berkumpul dan berlumba di tengah-tengah kota pada malam hujung minggu.
Kodok-kodok rempit ini akan bermaharajalela di jalan-jalan raya dan menjadi
pemandu yang beraja di mata dan bersultan di hati dengan aksi-aksi yang
membanggakan diri masing-masing. Aksi-aksi lumba haram yang ganas seperti
‘drift and drag’, gaya 'aerospace' dan 'superman' bukan sahaja salah di sisi
undang-undang negara, malah membahayakan nyawa penguna jalan raya yang lain
serta nyawa pelumba haram itu sendiri. Cuba kita bayangkan pelbagai kemungkinan
yang akan menimpa pelumba haram yang memecut laju dengan kelajuan 200 kilometer
sejam secara tiba-tiba gagal mengawal motosikalnya dan melanggar seorang
kanak-kanak. Adakah dia dan kanak-kanak itu masih terselamat? Dan adakah dia
akan dibawa ke muka pengadilan setelah menyebabkan kematian seorang kanak-kanak
yang tidak berdosa? Maka, tidak hairanlah jika aktiviti lumba haram menjadi
salah satu punca utama peningkatan kadar kemalangan jalan raya di negara ini.

Secara intihanya,
kemalangan maut di jalan raya berpunca daripada pelbagai faktor. Pada
hakikatnya, kecelakaan jalan raya bukan sahaja mengakibatkan kecederaan serta
menyebabkan banyak nyawa terkorban, malah telah memusnahkan alam sekitar dan
kemudahan-kemudahan yang terdapat di jalan raya. Hal ini secara tidak langsung
telah menyumbang kepada kejatuhan ekonomi negara memandangkan pihak kerajaan
terpaksa menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk membaik pulih infrastruktur
jalan. Oleh hal yang demikian, pelbagai pihak haruslah berganding bahu dalam
mencari ikhtiar supaya kadar kemalangan maut jalan raya di Malaysia dapat
dikurangkan. Jika Beijing berjaya melakukannya, mengapa tidak Malaysia?
Malaysia boleh! Insya-Allah. Jika segala permasalahan ini dapat dirungkaikan,
tidak mustahil hasrat Malaysia untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020
seperti yang diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh menjadi kenyataan.
Sumber:http://bmssbj.blogspot.com/
Sumber:http://bmssbj.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment