Situasi Pengangkutan Awam Di Malaysia
STATISTIK menunjukkan bahawa jumlah penumpang telah
mencatatkan penurunan dari 37% pada 1985 kepada 20% pada 1997 dan akhirnya
menjunam sekitar 10% pada 2008. Walaupun peningkatan jumlah penduduk menambah
kesesakan lalu-lintas, pengguna dilihat kurang gemar menggunakan pengangkutan
awam kerana terpaksa berasak-asak pada waktu puncak di samping berdepan
perkhidmatan kurang cekap seperti pembatalan, kerap lewat dan kesukaran
mendapatkan pengangkutan awam.
Kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam bermula daripada
kaunter tiket selain perkhidmatan yang pantas, maklumat yang baik, kemudahan
tempahan, pilihan laluan serta ketepatan waktu, gagal dijadikan sebagai
petunjuk penting bagi menjamin pengguna terus menggunakan pengangkutan awam.
Pelbagai isu dibangkitkan saban waktu, antaranya
ketidakcekapan pengurusan operasi, keadaan kenderaan awam yang tidak selesa,
ketiadaan khidmat pengangkutan awam di kawasan kepadatan penduduk tinggi dan
mutu perkhidmatan yang tidak bersifat mesra pengguna, menjadikan kemudahan pengangkutan
awam pilihan terakhir bagi pengguna.
Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan (TWU) yang mewakili
kepentingan kolektif pekerja-pekerja industri pengangkutan awam Malaysia sejak
1958, telah melahirkan rasa bimbang dengan keadaan sistem pengangkutan awam di
negara ini yang semakin merosot dan menyedihkan. Tidak mustahil dalam masa
terdekat industri ini akan tergolong dalam ‘industri senja’ sekiranya langkah
pemulihan yang segera tidak diambil oleh kerajaan.
Industri pengangkutan awam di Malaysia sejak dahulu lagi
telah berdepan dengan masalah-masalah seperti pengeluaran permit dan lesen
pengangkutan awam yang terlalu banyak kepada syarikat-syarikat yang kurang
faham selok-belok industri, tiada ketegasan dan ketetapan di dalam pembentukan,
pelaksanaan dan penguatkuasaan dasar oleh pihak-pihak berkuasa yang berkenaan,
bidang kuasa yang bertindih berhubung pengeluaran lesen, pengesanan, pengujian
kenderaan dan penguatkuasaan, kos operasi yang meningkat akibat peningkatan
mendadak bahan bakar dan alat-alat ganti kenderaan dan lain-lain lagi.
Jumlah penumpang sangat sedikit, terutama di laluan
pedalaman dan laluan dalam bandar yang berlebihan perkhidmatannya. Malah untuk
mencapai kadar penumpang yang paling minimum pun sangat sukar kepada para
pengendali bagi membolehkan perkhidmatan mereka bertahan. Sebenarnya, terdapat
banyak lagi sebab lain, namun sebab-sebab di atas adalah yang paling kritikal.
Situasi di seluruh negara sangatlah membimbangkan. Banyak
syarikat bas telah memberhentikan perkhidmatan mereka akibat kos operasi yang
tidak lagi berupaya ditanggung. Di Pulau Pinang, seluruh sistem pengangkutan
bas telah lumpuh apabila syarikat Hin Bus, Yellow Bus, Lim Seng Bus, Kenderaan
Juara, Kiara Tuah dan Kiara Melati telah menamatkan perkhidmatan. Situasi ini juga
tidak kurang buruknya di Kedah dan Perlis, memandangkan syarikat Kubang Pasu
Transport, Perlis Transport dan Kuala Kedah Transport telah menyatakan bahawa
mereka mungkin terpaksa menamatkan perkhidmatan sekiranya situasi tidak
menunjukkan sebarang peningkatan.
Syarikat-syarikat bas di Johor pula berusaha untuk
menggabungkan perkhidmatan mereka bagi terus bernafas. Di Selangor, Foh Hup
Omnibus, Toong Fong Bus dan Len Bus telah gulung tikar. Len Seng Omnibus, dan
banyak lagi syarikat di Selangor dan Pulau Pinang, telah mengkontrakkan permit
mereka, begitu juga bas-bas mereka, kepada pengendali individu pihak ketiga
mengikut sistem berasaskan komisen. Oleh itu, mereka tidak mempunyai kuasa
penyeliaan langsung ke atas kekerapan dan mutu perkhidmatan.
Dalam pada itu, ‘konsortium pengangkutan’ juga tidak membawa
hasil yang menggalakkan. Sekitar lewat 90-an, beberapa syarikat bas di Lembah
Klang telah digabungkan di bawah Intrakota Consolidated dan diuruskan oleh
Diversified Resources Berhad (DRB). Ini diikuti oleh Park May Berhad. Intrakota
tidak lebih dari sekadar gabungan, ia terbeban oleh perbelanjaan modal yang
terlalu besar, terjadi kerana syarikat membeli bas-bas buatan luar negeri yang
sangat mahal; alat-alat ganti yang sama mahalnya dan kos penyelenggaraan
kenderaan yang melambung tinggi; bilangan bas yang tidak mencukupi untuk
beroperasi, sistem ‘pemandu berseorangan’ yang tidak efektif yang menyebabkan
kelewatan perjalanan dan bahaya ke atas keselamatan di jalan raya; pemandu yang
tidak mencukupi dan pelbagai lagi masalah logistik.
Semua ini, telah mendatangkan bermacam-macam kesulitan dan
kekecewaan kepada para pengguna yang bergantung kepada bas sebagai satu-satunya
kaedah pengangkutan mereka. Golongan berpendapatan rendah bukan sahaja perlu
menanggung kadar tambang yang tinggi, tetapi juga terpaksa berdepan dengan
perkhidmatan bas yang tidak menentu serta tidak boleh diharapkan. Perjalanan
lancar nampaknya semakin sukar untuk dicapai pada tahun-tahun yang mendatang.
Jalinan pengangkutan yang mudah dan selesa kekal sebagai satu mimpi sahaja.
Perkhidmatan Bas Awam
Semenjak perkhidmatan bas awam diperkenalkan secara
sistematik pada tahun 1935 oleh General Transport Company milik British,
operasi pengangkutan bas awam dibiayai sepenuhnya oleh pengusaha swasta. Tidak
dinafikan, perkhidmatan pengangkutan bas awam di Malaysia telah melalui
tahun-tahun yang cemerlang.
Malangnya, akibat daripada situasi yang menekan negara
menyebabkan banyak syarikat bas terpaksa memberhentikan perkhidmatan mereka
kerana kos operasi yang tidak lagi dapat ditanggung memandangkan kali terakhir
tambang bas henti-henti dinaikkan ialah pada 2005, iaitu daripada 40 sen kepada
60 sen untuk dua kilometer.
Kerajaan pernah mengambil langkah pembaikan melalui
konsortium pengangkutan sekitar lewat 90-an dahulu menerusi penggabungan
beberapa buah syarikat bas namun langkah tersebut juga tidak membawa hasil yang
menggalakkan.
Penggunaan bas yang telah berusia sebagai langkah
pengurangan kos sebaliknya telah menimbulkan masalah-masalah lain pula seperti
keadaan bas yang usang dengan bumbung bocor, kerusi yang patah dan koyak,
penghawa dingin yang tidak berfungsi, palang cermin yang patah dan pelbagai
lagi. Keadaan ini bukan sahaja mendatangkan situasi tidak selesa kepada
pengguna tempatan tetapi juga memberikan tanggapan negatif kepada
pelancong-pelancong asing. Tanggapan sedemikian sudah tentu tidak akan
menyumbang kepada industri pelancongan negara yang sangat bergantung kepada
sistem pengangkutan awam yang lancar dan selesa.
Baru-baru ini Rapid KL telah melancarkan RapidBET iaitu
singkatan Rapid Bus Expressway Transit, yang dapat mengurangkan tempoh
perjalanan bas sehingga 50%. Melalui sistem itu, bas akan menggunakan lebuh
raya untuk sampai ke destinasi tertentu bagi menjimatkan tempoh perjalanan
berbanding jalan raya biasa. Sebagai contoh, sistem ini beroperasi di dua
laluan yang mempunyai jumlah penumpang tinggi iaitu dari Kota Damansara ke
Pasar Seni melalui Penchala Link manakala laluan kedua dari Bandar Sungai Long
ke Pasar Seni melalui Lebuhraya Grand Saga. Namun begitu, warga Orang Kurang
Upaya (OKU) tidak menikmati perkhidmatan ini. Ini adalah kerana kebanyakan
stesen LRT dan stesen bas tidak mesra OKU.
Di negara kita, warga OKU memang tidak menikmati sistem
pengakutan awam yang boleh dikatakan selesa untuk mereka. Di antaranya,
rekabentuk yang tidak mesra OKU atau tidak sejagat merupakan punca yang utama.
Kita dapati bahawa stesen LRT atau hub bas yang disediakan untuk pertukaran,
biasanya tidak menyediakan tempat letak kereta yang mencukupi. Ini menjadi
punca masalah kerana bagi para pemandu OKU, tiada tempat letak kereta yang
bersesuaian bererti tiada akses bagi mereka.
Infrastruktur di stesen tersebut juga tidak menepati
piawaian bagi pengguna OKU. Ia biasanya tidak menyediakan cecondong yang
diperlukan bagi pengguna kerusi roda, tiada tactile guiding block yang
merupakan petunjuk jalan bagi pengguna buta. Tambahan pula, walaupun sesetengah
tempat menyediakan kemudahan mesra OKU, tetapi ia tidak dapat dicapai oleh
warga OKU, ada yang telah disalahgunakan oleh pihak ketiga, dan kebanyakan
rekabentuknya pula tidak mesra OKU, di mana OKU tidak dapat menggunakannya
dengan selesa.
Perkhidmatan Rel
Wujudnya Sentral Kuala Lumpur sebagai hab pengangkutan utama
rel awam dilihat sebagai permulaan yang baik. Malangnya, sistem pengangkutan
awam yang telah menjangkau usia antara 12 hingga 13 tahun ini masih lagi tidak
menampakkan kematangannya. Semenjak pelaksanaannya, masalah seperti tren
lambat, tren yang tiba-tiba berhenti atau rosak, terlalu sesak, penghawa dingin
yang tidak berfungsi dan masalah-masalah lain masih lagi berlaku.
Keadaannya yang sesak bagaikan sardin, lebih-lebih lagi
waktu puncak turut memberikan kesan negatif kepada tanggapan pengguna. Ramai
pengguna merungut kerana perkhidmatan rel ini tidak sistematik, jadual ketibaan
tidak teratur, gerabak tidak mencukupi dan liputan laluan tidak meluas.
Jadual waktu tren yang tidak tepat menyumbang kepada sikap
negatif penumpang seperti berebut-rebut, tidak beratur ketika memasuki tren
serta sikap kurang prihatin terhadap warga tua, warga kurang upaya dan wanita
mengandung. Senario ini bukan sahaja menjengkelkan, malah turut memberikan
pandangan buruk kepada pelancong-pelancong luar yang mana secara langsung akan
turut menjejaskan industri pelancongan negara.
Stesen Sentral Kuala Lumpur juga dikatakan tidak sesuai
kerana ruang menunggu yang kekurangan tempat duduk sama ada di Platfom A atau
B. Beberapa tempat duduk yang tersedia adalah untuk pelanggan makanan segera.
Tidak ada paparan monitor bagi menunjukkan jaduan perjalanan keretapi. Juga
tidak ada kaunter pertanyaan. Kadang-kadang terdapat kelewatan jadual berlepas
tetapi tidak ada sebarang pengumuman yang dibuat oleh petugas KTMB. Pihak KTMB
sepatutnya memaparkan jadual perlepasan terkini melalui monitor bagi kesenangan
dan keselesaan penumpang.
Di platfom bahagian bawah juga tidak ada sebarang penunjuk
arah koc-koc. Hanya dengan arahan beberapa orang petugas yang menunjuk arah ke
depan mahupun ke belakang dan cara ini sangat tidak profesional. Jika ada tanda
arah koc-koc maka penumpang tidak perlu bertanya.
Bagi tren perjalanan malam, pihak KTMB hendaklah membuat
pengumuman sebelum tren sampai ke sesuatu destinasi. Ini membolehkan penumpang
membuat persediaan awal untuk turun terutama yang berkumpulan dan berkeluarga.
Lebih-lebih lagi kepada pelancong asing yang kurang arif dengan perjalanan KTMB
ini. Buat masa ini didapati pengumuman hanya dibuat bila sampai di Bukit
Mertajam dan Butterworth saja.
Makanan yang dijual dalam koc juga dirasakan terlalu mahal.
Bagi yang berkeluarga mungkin tidak mampu untuk berbelanja dan sebab itulah
didapati ramai penumpang yang membawa makanan dari luar.
Terdapat sebilangan penumpang terutama anak muda yang suka
lepak diruang legar tepi pintu antara koc sambil merokok. Diharap pihak
keselamatan KTMB tidak menggalak penumpang berehat di sini kerana situasi
begini mengganggu keselesaan penumpang lain.
Perkhidmatan Teksi
Statistik menunjukkan bahawa bilangan teksi sebanyak 30,000
masih tidak mencukupi untuk menampung jumlah pengguna yang ada. Daripada jumlah
ini, sebanyak 21,000 buah teksi yang terdapat di Lembah Kelang masih tidak
mencukupi. Dianggarkan 3,000 buah teksi diperlukan bagi menambah jumlah sedia
ada.
Ironinya, dengan nisbah sebuah teksi bagi 500 orang
penumpang, diburukkan lagi dengan perlakuan tidak bertanggungjawab pemandu
teksi yang mengambil kesempatan mengenakan caj tidak munasabah selain tidak
menggunakan meter, telah menimbulkan rasa tidak puas hati para pengguna.
Rasa tidak puas hati pengguna terhadap caj teksi yang
terlalu tinggi ini telah menjadi satu isu yang berlarutan sekian lama. Malah,
situasi ini diburukkan lagi dengan tindakan tidak berdisplin dan tidak bermoral
di kalangan sesetengah pemandu teksi yang menggunakan perkataan yang tidak
sopan dan menghina penumpang yang meminta mereka untuk menggunakan meter.
Masalah kewujudan ‘ulat-ulat’ teksi yang licik dan tumbuh bagaikan
cendawan selepas hujan turut mencemarkan imej pengangkutan awam ini.
Kehadirannya di lokasi-lokasi tertentu terutamanya di lapangan terbang mampu
memberikan mereka pendapatan yang lumayan antara RM6,000 hingga RM7,000
sebulan.
Langkah Penambahbaikan
Sebagai langkah permulaan, satu sistem yang berintegrasi,
komprehensif dan tersusun di antara laluan terutamanya monorel, LRT, komuter
dan bas perlu diusahakan. Langkah yang diaplikasikan oleh negara-negara maju
seperti Jerman dan Jepun telah terbukti kejayaannya. Melalui sistem ini, setiap
penumpang boleh turun bas atau teksi dan pada masa yang sama boleh menggunakan
perkhidmatan LRT yang juga terletak di tempat yang sama.
Pembabitan terlalu banyak badan yang menyelaras dan
mengendalikan pengangkutan awam dilihat tidak banyak membantu menjamin
kecekapan sistem perkhidmatan awam negara. Bidang kuasa yang bertindih
berhubung pengeluaran lesen, pengesanan, pengujian kenderaan dan penguatkuasaan
menimbulkan kekeliruan dan menjadi penyebab kepada pelbagai masalah yang
timbul.
Pengeluaran permit kenderaan komersial misalnya, diletakkan
di bawah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP). Pengeluaran cukai
jalan dan penguatkuasaan peraturan jalan raya, dipegang oleh Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ), manakala perkhidmatan rel dan tren pula di bawah
Jabatan Keretapi. Kedua-dua jabatan ini adalah di bawah Kementerian
Pengangkutan. Kemudahan pengangkutan awam seperti perhentian bas, terminal bas,
lorong bas pula di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.
Sistem perkhidmatan pengangkutan awam sekarang tidak
mempunyai data statistik keperluan sebenar bagi pengangkutan awam. Oleh itu,
suatu kajian menyeluruh mengenai operasi pengangkutan awam di negara ini juga
menjadi suatu keperluan untuk bertindak sebagai rujukan atau penanda aras
kepada keberkesanan dan kecekapannya selama ini. Dengan maklumat yang diperoleh
daripada kajian itu, kerajaan akan dapat membina sebuah pangkalan data indeks
kualiti industri pengangkutan awam khusus untuk memantau sektor itu secara
berterusan.
Pangkalan data ini juga akan mengumpul maklumat terperinci
berkenaan sektor pengangkutan selain perlu dikemas kini secara tahunan sebagai
rujukan kepada semua pihak termasuk pengguna, pengusaha dan kerajaan. Melalui
usaha itu, kerajaan dan syarikat pengusaha akan dapat memantau operasi
perkhidmatan pengangkutan awam mengikut situasi semasa termasuk peningkatan kos
ekoran kenaikan harga minyak petrol. Menerusi hasil kajian yang sama juga,
kerajaan dapat mengenal pasti punca peningkatan kos dan menyalurkan subsidi
secara lebih tersusun dan sistematik seterusnya memuaskan hati pengusaha dan
pengguna.
Sasaran penggunaan pengangkutan awam kepada 40% menjelang
2020 daripada hanya 20% pada masa kini, dilihat sebagai langkah permulaan
penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam negara. Langkah ini bertujuan
mengikuti kejayaan negara-negara jiran mengaplikasikan sistem pengangkutan
awamnya di mana Singapura sebanyak 56%, Bangkok 30%, Manila 54%, Tokyo 49% dan
Seoul 60%.
Lima Teras Utama Misi Nasional yang mana antara strategi
utamanya adalah menambah baik kemudahan pengangkutan. Penambahbaikan ini
meliputi agenda meningkatkan liputan sistem rel transit bandar di samping
memperbanyakkan terminal pengangkutan awam bersepadu meliputi perkhidmatan
komuter, bas, teksi, LRT, ERL dan monorel bagi tujuan mengurangkan
kebergantungan kepada kenderaan persendirian terutama di kawasan Lembah Kelang.
Langkah Yang Telah Diambil
Sistem LRT sedia ada di Lembah Klang telah dipanjangkan
sejauh 30 km iaitu masing-masing sepanjang 15 km bagi aliran Kelana Jaya dan
aliran Ampang. Seramai 2.6 juta penduduk di sepanjang Koridor Subang Jaya-USJ
dan Koridor Kinrara-Puchong telah menikmatinya berbanding 1.9 juta orang
sebelum ini.
Pembelian 35 set tren aliran Kelana Jaya baru telah
meningkatkan kapasiti penumpang lebih dua kali ganda. Daripada 160,000
penumpang sehari pada masa lalu kini meningkat kepada 350,000 penumpang sehari.
Aliran Ampang pula mempunyai kapasiti 280,000 penumpang sehari berbanding
150,000 penumpang pada masa dulu.
Laluan baru dari Kota Damansara ke Cheras iaitu meliputi
laluan sepanjang 42 km akan ditambah. Laluan yang dijangka siap pada 2014,
dengan kapasiti melebihi 300,000 penumpang sehari, akan memberi perkhidmatan
rel bagi kawasan kediaman, perdagangan dan kewangan Koridor Kota
Damansara-Cheras yang mempunyai bilangan penduduk lebih sejuta orang.
Perkhidmatan Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad turut
dipertingkatkan. Langkah itu termasuk membaik pulih 20 set Electric Multiple
Unit (EMU) sedia ada. Sejumlah 13 EMU baru telah ditambah. Bagi memperluaskan
jaringan perkhidmatan rel komuter, laluan Sentul-Batu Caves sepanjang 7.5 km
telah dibina.
Di samping itu, dua projek utama sedang dilaksanakan bagi
meningkatkan perkhidmatan KTM, iaitu projek landasan berkembar elektrik
Seremban-Gemas, yang dijangka siap pada 2012 dan Ipoh-Padang Besar pada 2013.
Terminal pengangkutan bersepadu bagi kemudahan teksi dan bas
antara bandar juga telah dibina di Bandar Tasik Selatan. Terminal moden lima
tingkat ini mempunyai kapasiti menampung lebih 130 teksi dan 100 bas, kemudahan
letak kereta dan ruang komersial, selain berhubung dengan rel aliran Ampang,
ERL dan KTM Komuter serta teksi dan bas bandar di Lembah Klang.
Sebagai langkah membantu mengurangkan kos operasi operator
pengangkutan awam, kerajaan telah meningkatkan kuota subsidi diesel selain
kemudahan pinjaman mudah melalui dana pengangkutan awam. Sebanyak RM3 bilion
diperuntukkan di bawah Bank Pembangunan Malaysia Berhad untuk membiayai
perolehan aset bas dan rel.
Bayaran tol juga telah dikurangkan sebanyak 50% bagi semua
bas, kecuali di pintu masuk sempadan iaitu Tambak Johor, Link Kedua dan Bukit
Kayu Hitam, untuk tempoh dua tahun bermula 15 September 2008. Pengecualian
cukai jualan ke atas pembelian bas baru yang dipasang dalam negara dan
perbelanjaannya diberi elaun modal turut dipercepatkan. Cukai jalan juga
dikurangkan kepada RM20 setahun bagi semua bas dan teksi, termasuk kereta sewa
pandu dan limousin.
Bagi memastikan perhatian khusus diberikan kepada usaha
memajukan sistem pengangkutan awam bandar secara menyeluruh, Suruhanjaya
Pengangkutan Awam Darat telah ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri,
untuk merancang, mengintegrasi, mengawal selia dan memajukan sistem
perkhidmatan pengangkutan awam.
Kesimpulan
Sistem pengangkutan yang baik dan komprehensif bertindak
sebagai penjana bagi menarik pelabur asing serta pelancong. Kecekapan dan
keberkesanannya, adalah penentu pembangunan suatu bangsa dan negara.
Sumber:http://syedmahadzirsyedibrahim.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment