Monday, June 1, 2015

AKHBAR

SANDAKAN, 21 Julai (Bernama) -- Ahli Persatuan Pengusaha Pelancongan Koridor Kehidupan Kinabatangan (KiTA) mengambil inisiatif bekerjasama untuk menjimatkan kos dalam mengatasi penurunan kehadiran pelancong disebabkan insiden semasa yang berlaku di timur negeri ini.

Presidennya Alexander Yee berkata inisiatif pertama diambil adalah berkongsi kenderaan untuk membawa pelancong yang berkunjung ke pusat penginapan masing-masing di kawasan Hilir Kinabatangan.

"Langkah itu sedikit sebanyak dapat membantu kami menjimatkan kos operasi berikutan berlaku kekurangan kehadiran pelancong," katanya kepada Bernama di sini Isnin.

KiTA ditubuhkan sejak lima tahun lepas mempunyai anggota membabitkan sembilan pengusaha pelancongan di Kinabatangan iaitu beroperasi di kawasan Kampung Sukau, Bilit, Sungai Lokan dan Abai melalui pembukaan pusat penginapan serta pakej menyusuri sungai Kinabatangan.

Alexander mengakui insiden semasa berlaku di perairan timur Sabah telah mengurangkan kehadiran pelancong ke pusat penginapan mereka sama ada pelancong dari Eropah atau Asia.

Katanya ini menyebabkan kenderaan ahli KiTA masing-masing membawa pelancong dalam jumlah yang kecil dan ia merugikan kos operasi.

Menurutnya biarpun langkah itu dapat menjimatkan sedikit kos operasi tetapi lebih penting menunjukkan kerjasama rapat ahli KiTA dalam menghadapi keadaan semasa di Sabah.

Alexander turut berharap usaha kerajaan termasuk penstrukturan semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan perintah berkurung dapat meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan tumpuan.

Menurutnya langkah itu penting untuk meningkatkan keyakinan pelancong dari luar negara berkunjung ke negeri ini.


-- BERNAMA
Sumber:http://www.bernama.com/

No comments:

Post a Comment