“Pemandu tertidur mengakibatkan lorinya melanggar sebuah
kereta.”
“Pembonceng motosikal meninggal dunia akibat kecuaian
penunggang.”
“Pelanggar peraturan jalan raya mesti dikenakan hukuman yang
lebih berat.”
Sejak akhir-akhir ini, tajuk-tajuk berita seperti di atas
sering dipaparkan dalam media massa sama ada media cetak atau media elektronik.
Fenomena ini kian kritikal dan menggusarkan fikiran masyarakat. Peratus kes
kemalangan ini terus meningkat dari setahun ke setahun, terutamanya pada musim
perayaan. Senario yang menggemparkan ini tidak boleh dibiar berterusan dan
mesti ditangani dengan secepat mungkin. Apakah usaha-usaha yang patut
diimplementasikan bagi menyelesaikan masalah yang merunsingkan dan
mengacau-bilaukan minda masyarakat ini?
Kemalangan jalan raya tidak harus dipandang enteng,
Mesti dibanteras ke akar umbi,
Kudrat semua pihak mesti digembleng,
Azam janganlah berbelah bagi.
Pada pendapat saya, kerajaan memainkan peranan penting dalam
usaha penyelesaian ini. Kerajaan mesti menguatkuasakan undang-undang. Hukuman
berat mesti dikenakan terhadap sesiapa yang berani melanggar peraturan di jalan
raya. Bak kata peribahasa, "setinggi-tinggi terbangnya bangau, akhirnya
pasti jatuh ke tanah". Tamsilnya, saya mencadangkan agar pesalah laku
trafik haruslah didenda sekurang-kurangnya RM500 atau dipenjarakan selama enam
bulan. Dengan ini, pengguna jalan raya tidak akan berani memperlekeh amaran
kerajaan lagi.
Selain itu, kerajaan mesti memperketat tahap kelulusan ujian
yang dijalankan untuk menguji pemandu kenderaan. Oleh sebab itu, usaha kerajaan
mestilah berlandaskan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Lesen-lesen tidak harus diberikan kepada para pemandu dengan mudah. Rentetan
itu, kerajaan mesti sentiasa membiayai ongkos untuk mengadakan pelbagai kempen
kesedaran. Kempen-kempen ini haruslah diadakan dengan objektif menyedarkan para
pengguna jalan raya tentang kepentingan mematuhi peraturan jalan raya.
Inisiatif ini mampu membantu meminimumkan kemalangan di jalan raya yang terus
berlaku.
Seterusnya, polis trafik mestlah menjalankan tugas dengan
dedikasi. Mereka mesti menjalankan tugas masing-masing dan memberkas golongan
yang melanggar undang-undang di jalan raya. Saman mesti sentiasa dikeluarkan
untuk memberi amaran kepada si pelanggar peraturan jalan raya. Kelengkapan
polis trafik mestilah sempurna. Di samping itu, polis trafik yang amanah amat
diperlukan. Mereka tidak harus menerima rasuah sebaliknya mesti bersikap adil
dan saksama. Sikap berdiri di atas pagar mestilah dipraktikkan oleh anggota
polis trafik. Implikasinya, polis-polis trafik juga turut memainkan peranan
yang agak penting.
Lain daripada itu, segenap lapisan masyarakat mesti
melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Jika didapati ada pengguna jalan raya
telah melanggar undang-undang seperti mengadakan perlumbaan haram dan
sebagainya, kita mesti segera membuat laporan kepada pihak berkuasa. Dengan
bekerjasama bagai aur dengan tebing antara polis dan masyarakat, kemalangan
dapat dikurangkan.
Kata orang tua-tua, “malang tidak berbau”. Pengguna jalan
raya sendiri mesti memahami maksud bidalan ini. Pengguna jalan raya mesti
sentiasa memerhatikan papan-papan tanda di tepi jalan. Papan tanda yang
disediakan oleh kerajaan bertujuan memastikan keselamatan para pengguna di
jalan raya. Keselamatan para pengguna jalan raya pasti dapat dijamin jika
arahan telah dipatuhi. Akhir sekali, pemandu kenderaan mesti sentiasa memusatkan
perhatian semasa memandu. Mereka tidak harus memandu sambil membuat perkara
lain seperti menggunakan telefon, bergosip dengan orang lain dan sebagainya.
Kesimpulannya, kemalangan yang di jalan raya berlaku tidak
diimpikan oleh setiap orang. Bak kata pepatah, “pandu cermat jiwa selamat”.
Pengguna-pengguna jalan raya mestilah mengimplementasikan kewajipan
masing-masing. Dengan ini, barulah keselamatan setiap pengguna dapat dijamin.
Usaha-usaha kolektif yang telah saya cadangkan mestilah dilaksanakan dengan
segera. Ingat, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih!”
Sumber:http://cikgutancl.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment